POLIS menembak mati suspek kes melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di Shah Alam, pada 8 Februari lalu, di Pulau Ketam, awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek yang juga seorang penjenayah dikehendaki maut dalam satu kejadian tembak-menembak bersama polis ketika serbuan di Pulau ketam itu.
Katanya, lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditembak dalam satu operasi membabitkan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSK dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sekitar jam 3 pagi tadi
“Sewaktu serbuan tersebut, berlaku tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah di sebuah bilik hotel.
“Pasukan polis berjaya menembak mati seorang lelaki dan menemui dua senjata api berisi peluru bersama suspek tersebut.
“Semakan mendapati suspek yang dikehendaki ini mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun, selain dipercayai terbabit dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah Setia City Mall baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Media melaporkan dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8 malam pada 8 Februari lalu, suspek melepaskan empat das tembakan terhadap seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah di Setia Alam, semasa berada di Aras P1.
Mangsa yang cedera di punggung dan kakinya menyelamatkan diri, masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan, manakala suspek melarikan diri ke Aras P2.
Suspek kemudian melepaskan beberapa lagi tembakan dan terkena pada pintu kaca serta cermin tangga sebelum menahan sebuah kereta jenis Perodua Ativa milik seorang pengunjung dan memaksa lelaki itu membawanya menuju sebuah kawasan di Pandamaran, Klang dan memberhentikan keretanya.
Suspek melepaskan mangsa dan melarikan diri.






