
KUNDASANG – Seramai 28 ahli persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia, Cawangan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan (Puspanita MARISA) berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dalam ekspedisi pendakian mereka, semalam.
Pengerusi Puspanita MARISA, Datin Norazlina Ibrahim berkata ekspedisi ini menzahirkan rasa bangga dan syukur atas kejayaan semua peserta menawan puncak gunung tertinggi di Malaysia itu.
Beliau yang turut serta dalam ekspedisi itu, turut menjelaskan pendakian itu berupaya memupuk semangat setiakawan serta kebersamaan antara ahli.
“Kejayaan ini bukan sahaja satu pencapaian peribadi bagi setiap peserta, tetapi juga bukti semangat juang yang tinggi serta keutuhan ukhuwah dalam pasukan.
“Kerjasama erat antara Maritim Negeri Sabah dan Puspanita MARISA menjadi dorongan utama dalam menakluk cabaran ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Penyelaras Ekspedisi yang juga merupakan Setiausaha Puspanita MARISA, Nurhanna Hakim berkata, pendakian ini sebagian daripada inisiatif Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan melalui platform Kesedaran Keselamatan Maritim (KESMAR) dalam meraikan sambutan dua dekad Maritim Malaysia.
“Ekspedisi ini berjaya membuktikan keupayaan para peserta dalam mengharungi cabaran fizikal yang mencabar selari dengan semangat daya tahan dan kecekalan yang sentiasa diterapkan dalam perkhidmatan maritim.
“Program ini juga menjadi simbol kekuatan bukan sahaja dalam kalangan pegawai dan anggota Maritim, tetapi turut melibatkan suri-suri yang menjadi tulang belakang kepada pasukan pertahanan maritim negara,” ujarnya.





