
LAHAD DATU – Empat pasangan bukan suami isteri ditahan selepas didapati berkhalwat menerusi Operasi Valentine yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu, pada Jumaat.
Kesemua mereka yang ditahan menerusi operasi bermula pukul 9.30 malam sehingga 3 pagi di hotel bajet sekitar daerah itu berumur 20-an.
Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Mardi Ariffin berkata, operasi itu bertujuan memastikan masyarakat tidak terlibat dalam perbuatan yang mendekati zina.
“Kita tidak mahu masyarakat khususnya umat Islam, terjebak dalam perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang mendekati zina atau mukadimah zina, sama ada di tempat tertutup mahupun terbuka.
“Ketika operasi, turut ditemui kondom dan ubat kuat dipercayai digunakan oleh pasangan terbabit,” katanya kepada media, di Lahad Datu.
Menurut Mardi, pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah kerana kesalahan khalwat yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Operasi itu disertai seramai 12 anggota penguat kuasa JHEAINS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lahad Datu.






