
PUTRAJAYA – Cadangan bagi mewujudkan portfolio menteri agama bukan Islam adalah tidak wajar selain mewujudkan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan dalam mengurangkan saiz Kabinet.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil langkah mengurangkan jumlah menteri dan timbalan menteri daripada 70 orang ketika zaman pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada 60 orang.
Menurutnya, penambahan anggota Kabinet akan menghantar isyarat negatif bahawa Kerajaan Madani tidak serius menurunkan defisit negara yang diwarisi sejak pentadbiran kerajaan terdahulu selain perbincangan urusan antara agama akan menjadi topik utama yang boleh menjejaskan isu-isu lain lebih mendesak.
“Isu-isu kritikal seperti peningkatan gaji dan ekonomi rakyat, keselamatan negara dan pelaburan terpaksa saling bersaing dalam tempoh mesyuarat Kabinet yang sudah terhad sekarang.
“Pada masa sama, perpaduan rakyat dan negara adalah urusan terpenting mana-mana kerajaan untuk memastikan tanah airnya stabil, sedia menghadapi cabaran semasa dan terus membangunkan negara bangsa,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika Sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan agar portfolio menteri berkenaan dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Katanya, beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai Exco Hal Ehwal Bukan Islam dan menyarankan kerajaan Persekutuan mencontohi langkah tersebut untuk menjamin hak semua rakyat.
Dalam pada itu, Chean Chung menegaskan, cadangan yang dikeluar oleh Yu Hui dalam persidangan Dewan Rakyat adalah bersifat peribadi, dan tidak mencerminkan pendirian kerajaan.
“Cadangan tersebut adalah di bawah hak beliau untuk bersuara sebagai wakil rakyat. Maka semua pihak tidak perlulah melompat-melompat untuk memungut mata politik masing-masing.
“Cuma saya juga akur bahawa kita perlu meneliti ruang antara cadangan yang ‘boleh dibuat’ dan ‘wajar dibuat’. Bagi saya cadangan tersebut tidak wajar,” katanya.
Sementara itu, Chean Chung berpandangan Kementerian Perpaduan perlu menjadi lebih kompeten dan memainkan peranan utama dengan lebih proaktif, bukan sekadar mengambil pendekatan pasif serta responsif.
Melalui penubuhan jawatankuasa rentas kaum, agama dan sempadan, beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, pelbagai isu telah diselesaikan, bahkan persefahaman dan perpaduan rakyat juga dapat diperkukuhkan.
“Lagipun, walaupun kerajaan bersilih ganti, puluhan juta rakyat berbilang kaum kita sudah hidup bersama secara sejahtera, sentosa dan aman selama hampir 70 tahun.
“Ini adalah bukti utuh bahawa sebenarnya kebijaksanaan rakyat adalah lebih tinggi untuk saling hormat menghormati di samping bangga dengan tradisi masing-masing,” katanya.


