KERAJAAN memperuntukkan RM185 juta untuk membaiki kemudahan di 358 flat Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara tahun ini, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan segera RM1.2 juta untuk projek pembaikan PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya, terutama membabitkan lif yang kerap rosak.
Anwar berkata, usaha itu menjadi keutamaan kerajaan perpaduan bagi memastikan kebajikan warga PPR khususnya golongan miskin bandar terus terpelihara.
“Syarikat pengendali lif kena ingat, kita boleh bayar. Kelulusan wang segera, Ketua Setiausaha ada di sini, kita segera kelulusan, Datuk Bandar juga ada. Kalau lambat peruntukan sampai, beritahu saya.
“Kalau peruntukan sudah lulus tapi kerja masih tak jalan, Datuk Bandar kena jawab dengan saya tapi saya percaya Datuk Bandar seorang yang prihatin dan saya berterima kasih dengan kerjasama diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir ke majlis meraikan Forum Komuniti PPR Lembah Subang 1, pada Khamis.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, kerajaan juga telah melaksanakan proses baik pulih 8,600 tandas awam di seluruh negara untuk memastikan keselesaan rakyat di negara ini terjamin.
Katanya, pemimpin perlu memastikan kebajikan asas rakyat sebagai keutamaan sekali gus memikirkan soal pertumbuhan ekonomi.
“Pelaburan datang beratus bilion, ringgit kuat, bon naik tapi bagi rakyat di Lembah Subang 1, mereka nakkan lif, sekolah, kemudahan kesihatan.
“Jadi (pemimpin) kena fikir kedua-duanya. Di sini, hari ini, kita bukan saja memanfaatkan kemudahan tambahan tapi RM1.2 juta itu perlu disegerakan,” katanya lagi.
Dalam pada masa yang sama, Anwar meminta agar senarai nama penduduk PPR dikenal pasti untuk memudahkan pelaksanaan kadar bayaran sewa yang munasabah.
Dengan nada tegas beliau berkata, jika terdapat tunggakan boleh dibincangkan dengan majlis perbandaran atau ahli dewan undangan negeri yang berkenaan, tetapi sewa minimum mesti dibayarkan dan setiap penduduk menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Kalau rasa (sewa) terlalu tinggi, kita boleh pastikan sewa itu dikurangkan tetapi kalau duduk tanpa tanggungjawab, itu tak boleh.
“Kita pastikan apabila kita keluarkan belanja untuk beri kemudahan tapi senarai nama harus diberi dan setiap penduduk mesti jalankan tanggungjawab,” katanya.


