
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan membuka permohonan menjaja di bazar Ramadan di bawah seliaan DBKK pada 18 sehingga 19 Februari ini.
Menurut DBKK menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya permohonan boleh dibuat melaui pautan borang e-Bazar.
“Pautan borang e-Bazar akan dikongsikan di Facebook rasmi DBKK bermula pukul 10 pagi, pada 18 hingga 19 Februari ini.
“Tapak lot bazar Ramadan di bawah seliaan DBKK terletak di Lintasan Deasoka, Indah Permai, Sembulan, Tanjung Aru dan Padang Merdeka Kota Kinabalu .
“Tapak lot adalah terhad dan tertakluk kepada ‘first come first serve’,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Menurut kenyataan itu lagi, pemohon perlu mengemukakan salinan dokumen seperti Sijil Kad Kesihatan yang masih sah, Sijil Kursus Pengendalian Makanan, Kad Pengenalan yang disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan sekeping gambar berwarna produk-produk jualan dalam bentuk digital ‘soft copy’.
Kegagalan memuat naik dokumen-dokumen yang dinyatakan akan menyebabkan permohonan ditolak.
Justeru, untuk pertanyaan lanjut peniaga boleh menghubungi bahagian pengurusan penjaja di talian 011-2519864 pada waktu pejabat iaitu pukul 8 pagi hingga 5 petang.




