
KOTA KINABALU – Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) meneruskan momentum bagi memastikan permohonan bilangan projek khususnya yang melibatkan gantian sekolah daif dapat ditingkatkan.
Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin berkata, sebanyak 273 permohonan projek yang merangkumi spektrum pembinaan gantian sekolah daif, sekolah baharu, bangunan pejabat pendidikan daerah, bangunan tambahan dan perolehan tanah diangkat melalui perancangan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bermula Rolling Plan pertama (2021) hingga Rolling Plan kelima (2025),
“Daripada jumlah permohonan tersebut, sebanyak 214 projek yang telah berjaya mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi dengan nilai projek yang diluluskan bagi setiap projek bernilai antara RM10 juta sehingga RM300 juta.
“Hasil usaha dan kerjasama padu Sektor Perancangan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), JPNS berjaya mengemukakan sebanyak 108 permohonan projek yang berjaya dibentangkan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Disember 2024.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 98 projek yang berjaya melepasi tapisan KPM dan akan dibentangkan kepada Kementerian Ekonomi dalam bulan Mei 2025 ini untuk kelulusan bajet yang akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan Negara dalam bulan Oktober 2025 akan datang,” katanya.
Raisin berkata demikian semasa Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 JPNS di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Likas di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata dalam memastikan permohonan projek pembangunan dalam RMK ini berjalan lancar, terdapat beberapa kekangan isu yang yang perlu ditangani segera khususnya yang melibatkan status tapak tanah sekolah dan pengesahan keselamatan bangunan.
Katanya, sinergi bersama pihak-pihak yang berkepentingan adalah amat diperlukan bagi memastikan usaha berterusan menangani isu sekolah daif Sabah dalam jangka masa panjang dapat ditingkatkan,
Tambah Raisin, usaha untuk mengenal pasti keperluan pembangunan infrastruktur sekolah perlu sentiasa diteliti dari semasa ke semasa dan ditangani segera khususnya di peringkat kepimpinan sekolah dan PPD tanpa perlu menunggu isu-isu ditularkan oleh pihak-pihak luar yang berkepentingan.



