
IPOH – Kerajaan Negeri Perak tiada halangan untuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meneruskan kajian berkaitan cadangan memperluaskan larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk Islam.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi satu kenyataan media pada Selasa berkata, cadangan tersebut sedang di peringkat kajian mengikut bidang kuasa MBI.
Ujarnya, ianya akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri.
Malah kerajaan negeri juga mengambil berat polemik yang timbul termasuk dalam kalangan parti politik susulan cadangan tersebut.
“Kita telah mendapat maklum balas daripada pihak MBI menjelaskan bahawa cadangan tersebut sedang di peringkat kajian.
“Berhubung perkara itu, kerajaan negeri tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian mengikut bidang kuasa MBI.
“Bidang itu diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017.
“Selain pematuhan peraturan minuman beralkohol/Peraturan-Peraturan makanan 1985 dan Akta Makanan 1983,” jelas beliau.
Sebelum ini, MBI pernah menyatakan kesediaan mereka untuk memperluaskan larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam di kawasan Ipoh seperti yang telah dilaksanakan di Gugusan Manjoi sebelum ini.
Biarpun Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata ianya masih di peringkat kajian, pelbagai pihak tampil bersuara sehingga ada yang menjadikannya sebagai polemik politik.
Justeru itu, Saarani berkata, pada peringkat ini, perbalahan dan pertikaian tidak sepatutnya timbul kerana hanya akan mencetuskan ketegangan dan kekeliruan.
“Semua pihak sewajarnya memberi ruang sepenuhnya kepada MBI bagi memperhalusi segenap aspek cadangan berkenaan.
Mengulas lanjut, ujar beliau, MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan tersebut tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam, tetapi mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang dapat menjaminkan kerukunan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Kajian akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk data demografi.
“Serta meneliti secara terperinci penetapan zon bagi perlaksanaan cadangan tersebut berdasarkan Kelas Guna Tanah (KGT) yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035,” ujarnya.
Tegasnya, sebarang ketetapan yang dibuat perlu bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan selari dengan panduan undang-undang sedia ada.






