
DENGKIL – Malaysia perlu memainkan perananan secara holistik dengan memberi pengukuhan semula kekuatan ASEAN.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan buat Malaysia membina kekuatan dalaman selepas perkara itu menjadi keperluan mendesak sebagai langkah menghadapi dunia yang semakin mencabar dan penuh ketidaktentuan.
Menurutnya, kerajaan kini perlu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, peningkatan budaya ilmu, kemahiran serta keterampilan kecerdasan buatan (AI) supaya rakyat tidak ketinggalan.
“Saya baru kembali dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Davos (Switzerland), suatu hal yang mengesankan dunia sekarang, walaupun dengan pelbagai rencah dan rencam politik, Malaysia perlu menumpukan kepada soal ekonomi, soal peningkatan budaya ilmu, kemahiran, keterampilan, AI (kecerdasan buatan).
“Jadi kita mohon rakyat fokus dalam bidang itu dan jika tidak berbuat demikian, kita akan ketinggalan. Tambahan sekarang ini dengan dasar-dasar Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu, kita harus bina kekuatan dalaman,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir makan tengah hari di Anjung Dengkil, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil sebelum menunaikan solat Jumaat di universiti terbabit dengan diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu. Anwar berkata, kekuatan dalaman negara adalah sesuatu yang amat mendesak, terutama dalam menghadapi cabaran global dan pada masa perlu memberi tumpuan dalam pengukuhan semula ASEAN.
“Dasar Amerika Syarikat tidak menentu kita harus membina kekuatan dalaman yang bagi saya sangat mendesak dan asasi yang boleh saya tumpukan untuk dikukuhkan semula dengan ASEAN
“Jadi saya mohon kalau boleh (kita) jelaskan betul-betul bahawa dalam dunia yang mencabar dan penuh saingan dan ketidaktentuan ini, rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan mempunyai semangat untuk mengangkat martabat negara dan bangsa,” katanya.




