PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menganjurkan Mini Pameran Pertanian, Hortikultur, dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Mini MAHA akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama agro antara negara-negara ASEAN.
“Acara ini diharap dapat menarik lebih banyak pelaburan asing, meningkatkan eksport produk agro tempatan dan memperkasakan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam keterjaminan makanan di rantau ASEAN,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 KPKM, hari ini.
Mohamad berkata, semasa Mini MAHA berlangsung, perwakilan ASEAN akan dibawa melawat pameran tersebut.
“KPKM kurang aktif dalam ASEAN kerana kementerian ini mempunyai mesyuarat sendiri dengan menteri-menteri ASEAN, jadi ia berasingan daripada MAHA ini.
“Walau bagaimanapun, KPKM akan terlibat secara langsung bila diperlukan seperti penglibatan MAHA itu,” katanya.
Di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun.





