
BELURAN – Keterujaan 25 murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya mengikuti lawatan sambil belajar ke tempat menarik di Sandakan berupaya menjadi platform membentuk murid berilmu serta prihatin terhadap persekitaran dan warisan budaya.
Antara kawasan yang dilawati adalah Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Rumah Agnes Keith.
Guru prasekolah SK Balaban Jaya, Nor Azizah Md Ibrahim berkata, lawatan ini bukan sahaja dapat memberi pengalaman berharga kepada murid, ia sekali gus menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan nilai kemanusiaan yang positif.
Beliau berkata, lawatan berkenaan penting bagi memupuk semangat menguasai ilmu pengetahuan dalam diri murid prasekolah agar sentiasa ingin belajar.
“Melalui program ini, murid dapat berinteraksi dalam persekitaran alam semulajadi secara nyata serta membolehkan mereka mengetahui mengenai kepentingan menjaga alam semula jadi.
“Selain itu, murid ini turut diterapkan nilai patriotik dengan mengetahui dan menghargai tinggalan sejarah tersebut.
“Hal ini secara tidak langsung menggalakkan semangat kerjasama dan rasa hormat terhadap sejarah serta budaya tempatan,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press.
Menurut Nor Azizah, lawatan untuk murid prasekolah merupakan program tahunan yang terdapat dalam perancangan Takwim Persekolah bagi sesi 2025 dan lawatan seterusnya akan dibincangkan pada mesyuarat bersama ibu bapa akan datang.
Dalam pada itu, Azizah turut menzahirkan penghargaan terima kasih khususnya kepada Guru Besar SK Balaban Jaya, Denis R. Enti @ Dennis R. Raji atas sokongan penuh kepada program lawatan sambil belajar tersebut.
“Terima kasih juga pada Pejabat Pendidikan Daerah Beluran dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang memberikan kelulusan lawatan ini serta semua ibu bapa dan penjaga murid prasekolah SK Balaban Jaya kerana menjayakan program ini,” ujarnya.
Program sehari yang bermula seawal pukul 7.30 pagi pada Khamis itu turut disertai 21 ibu bapa dan penjaga serta empat guru pengiring.





