TINDAKAN cekap Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dan membanteras kegiatan pedofilia dalam talian menerusi Op Pedo mendapat perhatian serta pujian beberapa pemimpin Kerajaan Madani.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menerusi hantaran di X menzahirkan ucapan tahniah dan rasa bangga kepada PDRM yang bertungkus-lumus menumpaskan jenayah ini.
Nancy juga berkata, kerjasama PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) amat penting bagi melindungi kanak-kanak di Malaysia.
“Syabas kepada @PDRMsia dan D11 atas kejayaan Op Pedo yang menumpaskan kegiatan pedofilia dalam talian.
“Kerjasama dengan @MCMC_RASMI ini penting untuk melindungi kanak-kanak kita.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini.
Hari ini, 13 lelaki yang disyaki terbabit penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) diberkas dalam serbuan berasingan di enam negeri, semalam.
Serbuan menerusi Op Pedo Bersepadu itu dilakukan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 74 tahun itu ditahan di Lembah Klang, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.
Beliau berkata, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana kesalahan memiliki bahan CSAM serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, golongan kanak-kanak dan remaja amat memerlukan perlindungan rapi daripada agensi kerajaan daripada jenayah seperti ini.
Hannah turut mencadangkan kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar operasi sedemikian diadakan lebih kerap lagi.
“Syabas PDRM khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) atas pelaksanaan Op Pedo dengan kerjasama MCMC. Remaja dan kanak-kanak memerlukan sinergi agresif agensi-agensi kerajaan untuk melindungi mereka. ‘More joint ops like this please’ @fahmi_fadzil @saifnasution ,” katanya di laman X.
Manakala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pula berpendapat, kerajaan perlu mempertingkatkan lagi kapasiti digital bagi memerangi jenayah tersebut.
Katanya, kepantasan Kerajaan Madani dalam meminda akta berkaitan komunikasi ini juga dilihat akan membantu pihak berkuasa dalam menyelesai jenayah siber di media sosial.
“Syabas dan terima kasih kepada @PDRMsia dan pihak-pihak terlibat dalam Op Pedo yang berjaya menumpaskan kegiatan seksual serta antun seksual terhadap kanak-kanak dalam talian.
“Kerajaan perlu mempunyai kapasiti digital yang lebih maju untuk menangani peningkatan jenayah sebegini – semua kapasiti agensi yang berkaitan mesti dikemas kini dan dinaik taraf bagi tujuan ini.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan Madani telah bawa beberapa pindaan kepada akta berkaitan komunikasi dan bentang Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yg akan dapat bantu pihak berkuasa untuk kekang jenayah jelik ini,” katanya di X.
Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 bakal menawarkan reformasi kawal selia menyeluruh dan memberi jaminan keselamatan kepada pengguna internet di negara ini.
Ianya bertujuan melindungi data dan transaksi harian daripada pelbagai kemudaratan dalam talian, termasuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.







