KANGAR – Penjawat awam perlu memberikan perkhidmatan lebih berkualiti sebagai timbal balas kepada kenaikan gaji Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dilaksanakan pada Khamis.
Pengarah Sumber Manusia dan Korporat Majlis Perbandaran Kangar, Rosmariani Abdul Rashid berkata, kenaikan gaji itu adalah bentuk apresiasi kerajaan terhadap penjawat awam.

“Kenaikan gaji di peringkat pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana adalah suntikan motivasi kepada penjawat awam supaya lebih bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
“Penjawat awam juga perlu bersedia meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menjalankan tugasan secara ‘multitasking’ sebagai timbal balas,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, kenaikan gaji ini juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan perkhidmatan awam negara terus produktif dalam usaha mencapai matlamat negara maju.
Sementara itu, Penolong Pembantu Tadbir Jabatan Perhutanan negeri, Syed Ammar Yasser Syed Yusof meluahkan rasa syukur dengan kenaikan yang diterima.

“Alhamdulillah, kenaikan ini membantu mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat dan meringankan beban kami.
“Bagi saya, ia adalah lambang keprihatinan kerajaan Pusat terhadap pelbagai peringkat penjawat awam di negara ini,” ujarnya.





