
PUTRAJAYA – Seramai 529 kakitangan Kementerian Komunikasi telah mendaftar sebagai sukarelawan Skuad Ihsan Madani yang akan membantu melakukan kerja-kerja pasca banjir di negeri-negeri yang terkesan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya akan terus komited menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara dengan kerjasama empat rakan strategik iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia (TM).
“Sehingga semalam (Isnin), seramai 117 orang warga Kementerian Komunikasi telah terkesan akibat kejadian banjir dan 109 penerima terdiri daripada warga Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), TM, Pos Malaysia, Komuniti Madani dan penduduk setempat telah menerima bantuan,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulan Disember Kementerian Komunikasi, di sini pada Selasa.
Majlis Pelancaran Skuad Ihsan Madani juga telah diadakan sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi pada hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, MCMC melaporkan sebanyak 324 buah stesen pemancar komunikasi telah terjejas di empat buah negeri, iaitu 264 di Kelantan, 49 di Terengganu, 10 di Pahang dan satu di Johor dan kesemuanya telah pulih dan kembali beroperasi seperti biasa.
“Manakala operasi 99 buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut terkesan akibat banjir, dengan 98 daripadanya telah kembali beroperasi.
“Kementerian Komunikasi menerusi MCMC akan terus menyelaraskan kerja baik pulih infrastruktur komunikasi bagi memastikan orang ramai dapat terus berhubung semasa bencana,” katanya.
Jelas beliau sebanyak 135 Komuniti Madani di bawah seliaan Jabatan Penerangan Malaysia (Jape) dengan jumlah keseluruhan 2,445 ahli keluarga juga telah terkesan akibat banjir.
“Antaranya, Kelantan dengan 71 komuniti melibatkan 1,409 ahli keluarga dan Terengganu dengan 43 komuniti melibatkan 742 ahli keluarga. Selain itu, Kedah (10 komuniti, 137 ahli keluarga); Negeri Sembilan (lima komuniti, 114 ahli keluarga); Perlis (dua komuniti, 17 ahli keluarga); Selangor (dua komuniti, lapan ahli keluarga); Melaka (satu komuniti, tujuh ahli keluarga) dan Perak (satu komuniti, 11 ahli keluarga).
“Japen turut bekerjasama dengan media arus perdana bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada orang ramai adalah tepat, sahih dan tidak mencetuskan panik selain meningkatkan kempen kesedaran komuniti tentang langkah keselamatan semasa banjir dan penjagaan kesihatan pascabanjir melalui platform Komuniti Madani.
“Sebagai tanda prihatin, Tabung Kasih@Hawana kendalian Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah mengagihkan bantuan kepada 234 penerima dalam kalangan pengamal media termasuk 30 orang penerima mangsa banjir,” katanya.





