
KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) Sabah menzahirkan ucapan tahniah kepada Tun Musa Aman atas pelantikannya sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 yang berkuat kuasa, hari ini.
Menurut kenyataan itu, PH Sabah menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas pelantikan itu.
“PH Sabah menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang telah berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 kepada Tun Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Aman.
“Juga menjunjung kasih atas pengurniaan pingat kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara di Istana Negara hari ini.
“PH Sabah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan dan pengurniaan pingat ini,” kata kenyataan tersebut di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, PH Sabah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Tun Juhar Mahiruddin sepanjang perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ke-10.
Kenyataan bersama itu dibuat oleh pemimpin parti komponen PH Sabah terdiri daripada Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Ewon Benedick; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Sabah, Lahirul Latigu.





