
“PASTIKAN rekod perpindahan anda tidak lesap!
Itu pesanan ringkas kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan rasmi.
Pesanan itu penting kerana hanya mangsa yang namanya tersenarai dalam rekod sesebuah pusat pemindahan layak dipertimbangkan bantuan.
Sekiranya nama mangsa banjir tiada dalam senarai itu, mereka dianggap tidak berpindah dan biasanya tidak layak mendapat bantuan kerajaan.
Dalam konteks Terengganu, banjir kira-kira dua tahun lalu meninggalkan kenangan pahit apabila puluhan mangsa di sebuah daerah mendapati nama mereka tiada dalam senarai penerima bantuan sekalipun mereka memang berpindah.
Ada dalam kalangan mereka membawa bukti antaranya pengakuan rakan yang juga mangsa banjir dan tersenarai sebagai penerima bantuan.
Malangnya, pengakuan itu tidak diterima kerana hanya rekod kehadiran bertulis yang ada pada ‘pihak berkuasa’ di situ sahaja diterima pakai.
Sebagai langkah berjaga-jaga, dinasihatkan mangsa banjir bertindak bijak – merekodkan kehadiran dan menyimpan bukti itu mengikut kesesuaian.
Masalahnya kini terdengar desas-desus, ada pihak menghalang mangsa banjir merakam bukti bahawa mereka sememangnya berpindah ke sesebuah pusat seumpama itu.
Adakah itu sememangnya suatu kesalahan?
Jika itu kesalahan, apakah itu adil kepada mangsa banjir yang sememangnya berpindah ke situ?
Pihak yang berkenaan tentu ada jawapan terhadap kemusykilan ini.
Jangan anggap isu ini kecil.





