
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah atas pelantikan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara baharu, pada Isnin.
Melalui hantaran di Facebook rasminya, Anwar yakin dengan kemampuan Speaker Dewan Negara baharu itu.
“Pengalaman luas beliau, baik di peringkat negeri dan persekutuan, pastinya mampu mengangkat martabat Dewan Negara ke tahap yang lebih tinggi lagi.
“Selamat menjalankan tugas,” tulisnya.
Terdahulu, Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Sarawak Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu, pagi ini.
Beliau menggantikan bekas Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia, pada Mei lalu.
Sebelum ini, Awang Bemee mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara, pada 15 Mei lalu.
Beliau pernah menjadi ADUN Nangka selama tiga penggal bermula 1996 hingga 2011, selain pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
Beliau merupakan pengamal undang-undang berpengalaman mengendali kes sivil dan jenayah di semua mahkamah hingga Mahkamah Persekutuan sejak mula diterima sebagai peguam bela dan peguam cara oleh Mahkamah Tinggi Borneo pada 1984.
Dilahirkan pada 22 Jun 1959, Awang Bemee adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya.





