
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan dakwaan bahawa RM94 juta telah ditemui di kediaman bekas menteri.
Menerusi satu kenyataan, suruhanjaya itu berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai RM94 juta yang ditemui di kediaman bekas menteri, seperti yang didakwa Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim di Dewan Rakyat hari ini.
“Walaupun SPRM menghormati hak Ahli Parlimen untuk menyatakan pandangan mereka secara bebas, adalah penting kenyataan yang dibuat adalah berdasarkan fakta yang tepat untuk mengelakkan kekeliruan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SPRM juga menegaskan tiada sebarang kenyataan dibuat oleh SPRM atau Ketua Pesuruhjaya berhubung penemuan jumlah tersebut di kediaman bekas Menteri.
Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) memberi tempoh 24 jam kepada Awang Hashim (PN-Pendang) untuk mendedahkan nama pemimpin DAP yang didakwanya menyimpan wang berjumlah RM9.4 juta di rumah.
Rayer menyifatkan Awang, ketika membuat dakwaan itu, sebagai bertindak semberono dan tidak bertanggungjawab, serta menggunakan kekebalan di Dewan Rakyat untuk membuat tuduhan liar.
Beliau dipetik berkata tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan usul agar Awang dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 hari ini, Awang membangkitkan dakwaan penemuan wang tunai berjumlah RM9.4 juta yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri daripada DAP.








