
Oleh: Hidayatun Nufus
Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Program Payung RAHMAH akan dilanjutkan hingga tahun 2025.
Langkah ini bertujuan untuk membantu golongan B40 menghadapi kenaikan kos sara hidup dan memudahkan mereka membeli barang keperluan harian.
Apa itu Program Payung Rahmah?
Program Payung RAHMAH adalah sebuah inisiatif yang dirancang khusus untuk memberikan sokongan kepada komuniti B40 dan M40.
Pengenalan Program Payung RAHMAH
Kerajaan sebelum ini telah melancarkan pelbagai program bagi membantu golongan B40 dalam bersedia menghadapi isu kos sara hidup yang semakin mencabar di dalam negara kita.
Inisiatif ini adalah hasil cetusan idea daripada Mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang bertekad untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Konsep program ini merupakan salah satu daripada inisiatif jangka pendek yang digerakkan di bawah Ekonomi MADANI, yang bertujuan untuk menangani isu-isu segera yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian rakyat.
Dengan pendekatan yang menyeluruh dan berfokus, program ini diharapkan dapat memberikan bantuan yang nyata kepada golongan yang memerlukan.
Sehubungan dengan itu, program yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ini akan terus diperkasakan.
Pelaksanaan Program Payung RAHMAH 2025
Kerajaan telah memutuskan untuk memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk Program Payung RAHMAH dalam Belanjawan 2025.
Peruntukan ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM100 juta berbanding RM200 juta yang disediakan pada tahun ini.
Salah satu inisiatif utama dalam program ini, iaitu Jualan RAHMAH, akan diperkasakan lagi dengan penawaran barangan keperluan asas pada harga yang berpatutan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap bulan.
Lima program utama yang ditawarkan di bawah inisiatif ini
Melalui program ini, pelbagai bentuk bantuan disediakan, termasuk bantuan tunai, diskaun untuk keperluan asas, dan pelbagai sokongan lain yang bertujuan meringankan beban kewangan mereka.
1. Menu RAHMAH

Program ini menyediakan hidangan harian yang mampu milik dengan harga di bawah RM5, membolehkan golongan berpendapatan rendah menikmati makanan berkhasiat tanpa membebankan kewangan mereka.
Program ini juga merupakan kerjasama KPDN bersama rakan strategik seperti pengusaha kedai makanan dan Persatuan Pengusaha Restoran dan Gerai Makanan.
Pengusaha yang terlibat bersetuju untuk menyediakan makanan harian, sama ada untuk makan tengahari atau malam, dengan harga tidak melebihi RM5.
Lazimnya, setiap hidangan mengandungi satu sumber protein, seperti ayam atau ikan, dan satu jenis sayur.
2. Bakul RAHMAH

Inisiatif ini melibatkan sumbangan barangan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan, memastikan golongan yang terkesan dapat memenuhi keperluan harian mereka dengan lebih mudah.
Bakul RAHMAH terdiri daripada barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandum, susu pekat, bihun, dan telur ayam.
Program ini disumbangkan oleh pelbagai rakan strategik setiap bulan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Antara syarikat yang mengambil bahagian dalam inisiatif ini adalah seperti berikut:
- Yayasan Global Mesra
- Yayasan Al-Manjie
- Yayasan Rahmah Malaysia
- Petronas 99
- Speedmart Sdn Bhd
- Lazada
- Grab Malaysia
- TF Value
- Giant Hypermarket
- Mydin
- AEON Big
- KK Mart
3. Jualan RAHMAH
Melalui program ini, diskaun sehingga 30% ditawarkan untuk pelbagai barangan keperluan, menjadikannya lebih berpatutan bagi pengguna.
Program Jualan RAHMAH menawarkan penjimatan harga barangan harian yang lebih murah berbanding harga biasa pasaran setempat.
Inisiatif ini menyasarkan potongan harga antara 10% hingga 30% di lokasi-lokasi yang mempunyai populasi berpendapatan rendah, dilaksanakan di setiap 222 kawasan parlimen di seluruh negara.
4. Pakej RAHMAH
Program ini membolehkan golongan B40 dan M40 membeli barangan asas pada harga yang lebih rendah, memberikan peluang kepada mereka untuk mendapatkan keperluan harian tanpa membebankan kewangan.
Pakej RAHMAH melibatkan kerjasama dengan pasar raya besar di seluruh negara dan membabitkan 10 hingga 12 barangan keperluan asas, membantu golongan termiskin mendapatkan barangan pada harga yang lebih berpatutan.
5. Kafe RAHMAH
Inisiatif ini menawarkan menu mampu milik khusus untuk pelajar universiti, memastikan mereka dapat menikmati makanan yang berkhasiat dan berpatutan semasa menuntut di institusi pengajian tinggi.
Kafe RAHMAH dibuka di universiti awam dan swasta, memberikan akses kepada pelajar untuk menikmati Menu RAHMAH dalam suasana yang mesra.
Dengan pelaksanaan Program Payung RAHMAH, diharapkan dapat memberikan kelegaan kepada golongan yang terkesan oleh kenaikan kos sara hidup, sambil meningkatkan kualiti hidup mereka.
Maklumat lanjut
Layari laman web KPDN iaitu https://www.kpdn.gov.my/ms/ untuk info selanjutnya.





