Lemahnya pembangkang!

MUNGKIN ada orang ‘terkejut biawak’ membaca tajuk tulisan ini dan kurang bersetuju dengannya.

Saya tidak kisah itu kerana saya menulis dengan jiwa iaitu apa-apa yang saya fikir betul.

Selain sebahagian kecil orang yang tidak berparti, yang lebih terkejut itu tentu pembangkang, pejuang, dan penyokongnya.

Pada fikiran pihak yang berkenaan, pembangkang dalam Parlimen Malaysia ini kuat.

Sebenarnya tidak begitu. Pembangkang kita amat lemah.

Dari segi ‘jumeloh’ ahli Parlimennya, tidak dinafikan mereka ramai walaupun beberapa orang daripadanya kini menyokong Kerajaan Perpaduan.

Dari segi ‘bising dalam dewan’, mereka juga tampil seperti juara.

Mereka bergegak-gempita dalam dewan namun seperti kata Shahril Hamdan, barisan kepimpinan pembangkang sekarang tidak menginspirasikan.

Kata-kata bekas ikon UMNO muda itu yang kini banyak bersuara melalui rancangan bual bicara Keluar Sekejap mungkin pedas tetapi itulah kenyataannya.

Saya juga bersetuju dengan pembicara hal ehwal semasa termasuklah isu politik – Nazri Hamdan – bahawa Malaysia memerlukan pembangkang yang kuat.

Itu benar!

Sebuah negara demokrasi seperti Malaysia memerlukan blok pengimbang, tetapi pada era Malaysia Madani, pembangkang sangat lemah.

Hal ini tidak seperti ketika Malaysia diterajui penghujung kuasa PMIV, diikuti PMV, PMVI, PMVII, PMVIII, dan PMIX, yang pada masa itu kewujudan pembangkang amat dirasai.

Pembangkang pada masa itu yang sebahagian besar waktunya dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) tampil dengan idea yang bernas.

Sungguhpun dalam tempoh 2014 hingga 2018 DSAI mendekam di penjara, barisan kepimpinan lapis bawahnya mampu menterjemahkan falsafah perjuangan pembangkang ketika itu.

Mereka dapat ‘menjentik’ kelemahan kerajaan melalui pertikaman lidah di Parlimen, yang berlangsung dengan sengit tetapi masih terkawal.

Pembangkang era sekarang ke laut – besar dari segi angka, kuat dari segi gema, riuh dari segi angkara namun naif dari segi kemenjadian.

Selain tidak mempunyai ketua yang berkaliber; yang dapat menarik persidangan dengan sentuhan yang terpuji, pembangkang juga tidak mempunyai sejumlah ahli yang bersungguh-sungguh membuktikan mereka mempunyai idea.

Yang kelihatan jelas, ketua-ketua parti dalam gabungan pembangkang ‘memonteng’ sesi sesuka hati.

Itu suatu perbuatan yang sangat memualkan – orang tua tidak mampu menunjukkan contoh berguna kepada pemimpin pelapis.

Yang hadir pula tak kira yang bergelar warga emas mahu pun yang pertengahan umur dan yang masih muda, cuma gemar mewujudkan suasana hingar-bingar, termasuklah bercakap merapu.

Tidak kedengaran sangat hal rakyat selain masalah harga barang (yang sebahagiannya direka-reka) dibangkitkan di Parlimen.

Yang paling banyak kelihatan ialah isu kebencian termasuklah mempersoalkan PM tidak ambil gaji, bertekak pasal kosa kata dan peristilahan, membentangkan isu daripada sumber yang tidak berkredibiliti, dan mengacau pihak lawan berhujah.

Ada juga ahli Parlimen pembangkang gemar datang dengan idea yang merapu-meraban serta berhujah bersandarkan surat layang.

Demikianlah pembangkang yang kita ada sekarang.

Naif betul mereka.

Itu namanya ‘menghabiskan beras’ semata-semata.

Related Posts

Fakta menolak persepsi: Lonjakan daya saing global

​LAPORAN terbaharu pada Jun 2026 mengesahkan Malaysia melonjak hebat 8 anak tangga ke kedudukan ke-15 dalam Indeks Daya Saing Global (IMD). Sebuah bukti nyata, bukan sekadar persepsi atau propaganda semata-mata.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Fahmi nafi Negeri Sembilan abai isu ceroboh tanah, tindakan sudah diambil

Fahmi nafi Negeri Sembilan abai isu ceroboh tanah, tindakan sudah diambil

Sepanyol kembali ke puncak ranking FIFA

Sepanyol kembali ke puncak ranking FIFA

RM6.75 juta dilabur bina tukun perkukuh rantaian makanan negara

RM6.75 juta dilabur bina tukun perkukuh rantaian makanan negara

Sisa kimia letupan ikan bom ancam kesihatan pengguna – Hanifah Hajar

Sisa kimia letupan ikan bom ancam kesihatan pengguna – Hanifah Hajar

AMK Miri edar bendera semarak semangat patriotik Hari Sarawak

AMK Miri edar bendera semarak semangat patriotik Hari Sarawak

Sarawak percepat ukur tanah NCR jamin hak milik rakyat

Sarawak percepat ukur tanah NCR jamin hak milik rakyat