
KANGAR – Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Gempur) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini akan diperkasa oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Perlis dalam usaha membanteras penyelewengan bahan bakar bersubsidi di negeri itu.
Pengarah Pejabat KPDN negeri, Hasbullah Abd. Rashid berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan memperketat pengawasan dan operasi di setiap stesen minyak serta pintu masuk utama di negeri ini, terutama di kawasan sempadan.
Menurutnya, gerakan itu bertujuan untuk memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang dan memutuskan rangkaian sindiket penyelewengan bahan bakar bersubsidi yang dilihat semakin berani menggunakan pelbagai modus operandi.
“Ada antara sindiket yang dipatahkan sebelum ini menyimpan minyak petrol bersubsidi di stor di kawasan tersorok seperti di kebun-kebun getah dan kawasan rumah tinggal.
“Ada juga yang mengisi melebihi kapasiti di dalam tangki petrol yang diubah suai dan kemudiannya dibawa ke luar negara dengan berlagak seperti pelancong,” katanya ketika sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Hasbullah, sebanyak 92 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dari 1 Januari hingga 23 Oktober tahun ini dengan nilai rampasan berjumlah RM1.2 juta.
“Ini menunjukkan penurunan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 146 kertas siasatan dengan nilai rampasan sebanyak RM4.5 juta,” katanya.
Beliau percaya penurunan tersebut adalah hasil daripada kesedaran rakyat dan tindakan tegas kerajaan menerusi pelaksanaan Gerakan Gempur yang akan terus diperkasa bagi mengatasi ketirisan bahan kawalan bersubsidi yang merugikan negara.






