PUTRAJAYA – Akta baharu hukuman tahanan di rumah disasarkan kepada 20,000 pesalah kategori tertentu dan berkelayakan selepas menjalani proses tapisan penuh kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia meliputi pesalah kali pertama yang tidak melibatkan kesalahan atau hukuman berat.
“Angkanya ada sekitar 20,000, jadi mereka ini adalah ‘first offender’ yang melakukan kesalahan tidak serius sebagai contoh ibu tunggal dihimpit kemiskinan curi susu kerana nak bagi anak, orang yang sakit, warga emas.
“Jumlah 20,000 itu yang layak dipertimbangkan. Walaupun dia ‘first offender’ tapi jika disiplin dalam penjara teruk, dia tidak terpilih kerana akan ada proses tapisan (yang dipilih untuk tahanan di rumah),” katanya seperti dilapor Berita Harian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja di Klang, petang tadi.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan bersesuaian iaitu rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau pegawai penjara.








