
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini hari ini.
Beliau tiba kira-kira jam 1.03 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta jemaah lain.
Solat Jumaat diimamkan ustaz Mohd Zikri Zainal dan disertai lebih 5,000 jemaah.
Selesai solat Jumaat, Perdana Menteri bergerak ke bangunan Perbendaharaan (Kementerian Kewangan) sebelum ke Parlimen bagi pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan sekitar jam 4 petang ini.
Bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, Belanjawan 2025 adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani dipimpin Anwar.
Ia juga adalah belanjawan terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun seterusnya.





