
MIRI – Golongan warga emas di daerah ini diperkasa dengan pengetahuan keselamatan digital bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan dalam talian serta penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Usaha itu digerakkan menerusi Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Miri anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Miri di pada Rabu.
Pengarah MCMC Cawangan Miri, Fazlida Hanim Abdul Razak berkata, pendedahan sedemikian penting bagi membantu warga emas mengenali teknologi digital dengan lebih dekat, khususnya penggunaan telefon pintar dalam kehidupan harian.
“Melalui program seperti ini, kami ingin memastikan golongan warga emas turut mempunyai peluang untuk mengenali teknologi dengan lebih dekat dan menggunakannya dengan lebih yakin dan selamat.
“Jangan sampai wang yang kita kumpul selama bertahun-tahun hasil bekerja hilang begitu sahaja akibat penipuan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap penipuan kewangan, penipuan cinta dalam talian serta penyalahgunaan teknologi deepfake yang mampu meniru suara dan wajah seseorang untuk memperdaya mangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Fazlida Hanim memaklumkan ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) akan dilaksanakan di seluruh negara pada 29 November ini antara pukul 10.10 pagi hingga 11 pagi.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya menerima mesej amaran berkenaan kerana ia merupakan sebahagian daripada ujian sistem tersebut.
Sejak diperkenalkan pada Januari 2025 hingga pertengahan September lalu, Kempen Internet Selamat telah menjangkau lebih 10,900 sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Kempen berkenaan turut merekodkan pelaksanaan 3,882 program kesedaran awam dengan penyertaan keseluruhan seramai 2.8 juta peserta.
Karnival bertemakan ‘Internet Selamat, Tanggungjawab Semua’ itu turut menyediakan sesi perkongsian mengenai Kempen Internet Selamat oleh MCMC, taklimat penipuan dalam talian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta perkongsian daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Selain mengunjungi reruai pameran keselamatan siber dan jualan usahawan tempatan, pengunjung turut menyertai aktiviti senamrobik kerusi, persembahan lagu dan tarian ahli PAWE Miri, pertandingan karaoke, pertandingan mewarna serta cabutan bertuah.

