Mohamad Nizar Najib
KUANTAN – Kerajaan Pahang mengutamakan pembangunan pusat data yang menggunakan teknologi cekap tenaga dan air bagi memastikan kemudahan itu tidak menjejaskan bekalan asas penduduk setempat.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, kecukupan bekalan elektrik, air serta kemudahan gentian optik adalah antara kriteria utama sebelum sesuatu projek dipertimbangkan untuk kelulusan.
“Kerajaan Negeri turut mengutamakan pusat data dengan kadar keberkesanan penggunaan tenaga (PUE) yang rendah bagi memastikan penggunaan elektrik lebih cekap.
“Buat masa ini kita perlu pantau jumlah kegunaan air dan elektrik yang digunakan. Kita utamakan pusat data yang tidak menggunakan air dan elektrik yang terlalu banyak dan berdasarkan kadar PUE yang rendah,” katanya, lapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADUN Beserah, Datuk Andansura Rabu pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Bagi menangani kekangan sumber air, beliau berkata, penggunaan air industri yang dikitar semula dilihat sebagai alternatif masa hadapan, selain teknologi penyejukan yang lebih cekap.
“Ke hadapan mungkin kita boleh guna air industri yang dikitar semula. Saya difahamkan dalam makmal-makmal di Amerika Syarikat ada perancangan untuk membuat teknologi penyejukan yang lebih efisien, yang tidak mengeluarkan begitu banyak air,” katanya.
Menjawab soalan ADUN (Lantikan), Rizal Jamin berhubung pencemaran bunyi dan gangguan bekalan kepada penduduk, beliau berkata pusat data wajib ditempatkan di zon perindustrian, bukan kawasan perumahan.
“Kita tidak akan meluluskan atau membenarkan sebarang pusat data berada di tengah-tengah perumahan kerana ini akan mengundang bantahan dan komplain daripada penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Pahang setakat ini mempunyai satu projek pusat data berstatus pelaburan komited, iaitu projek Fire Phoenix The International (M) Berhad dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Pahang Technology Park, Gambang, seluas kira-kira lapan ekar.
Projek bernilai kira-kira AS$100 juta (RM411 juta) itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan kapasiti maksimum bekalan elektrik 180 megawatt dan dijangka menyediakan 42 peluang pekerjaan, dengan sasaran 80 peratus pekerja tempatan menjelang 2029.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 117 projek pusat data telah diluluskan di seluruh negara, dengan 25 daripadanya telah beroperasi setakat November 2026.



