
KUANTAN – Belanjawan Pahang 2027 bukan sekadar dokumen dipenuhi angka, tetapi amanah yang perlu diurus dengan hikmah, berhemat dan berpandangan jauh.
Perkara itu diumpamakan kebijaksanaan Nabi Yusuf AS mengurus hasil negara menghadapi tujuh tahun kemakmuran dan tujuh tahun kesukaran.
Itu mesej utama dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah ketika membahaskan Belanjawan Pahang 2027 pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan setiap perancangan terkandung dalam belanjawan itu mesti diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat.
“Perancangan dibentangkan ini bukan sekadar menjadi dokumen perancangan, tetapi dapat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang benar dapat dirasai oleh seluruh lapisan rakyat,” katanya.
Mengambil iktibar Surah Yusuf ayat 47 dan 48, Ahmad Irshadi menjelaskan kemakmuran dinikmati tidak seharusnya menyebabkan kerajaan lalai dengan cabaran masa depan.
Lima prinsip digariskan antaranya berbelanja mengikut keutamaan, mengelakkan pembaziran dan ketirisan, memelihara serta memperkukuh rizab kewangan negeri, memastikan setiap peruntukan memberi manfaat kepada rakyat dan membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
Prinsip itu, katanya, diterjemahkan dalam unjuran perolehan hasil RM1.507 bilion untuk tahun hadapan.
“Kerajaan yang bijaksana bukan sahaja memikirkan bagaimana hendak membelanjakan hasil negeri pada hari ini, tetapi juga bagaimana hendak memelihara masa depan negeri,” tambahnya.
Menyentuh pendidikan, Ahmad Irshadi menegaskan pembangunan intelektual dan rohani mesti berjalan seiring.
Merujuk Surah Ali ‘Imran ayat 190 dan 191 mengenai golongan Ulul Albab, beliau menjelaskan amalan zikir membangunkan rohani, manakala daya fikir membangunkan intelektual.
“Kita tidak mahu melahirkan generasi yang tinggi kecerdasan intelektualnya, tetapi rapuh jiwanya; luas pengetahuannya, tetapi kehilangan arah dan tujuan hidup,” katanya.
Beliau mencadangkan program kecemerlangan akademik berjalan seiring program penghayatan al-Quran, pembentukan akhlak, pengukuhan jati diri, kesejahteraan emosi serta kaunseling dan sokongan psikologi.
Ini termasuk memperluaskan program talaqqi, tadabbur dan penghayatan al-Quran.
“Matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan manusia yang bijak mencari kehidupan, tetapi juga manusia yang memahami tujuan kehidupan,” katanya.
Bagi memperkasa keimanan rakyat, beliau mencadangkan institusi masjid dan surau diperkasa menerusi penyelarasan amalan wirid, termasuk susunan wirid Al-Awrad Al-Qusyasyiyyah atau Al-Awrad Al-Madaniyyah yang dihimpunkan ulama besar Madinah, Syeikh Ahmad Al-Qusyasyi, sebagai sebahagian khazanah tradisi kerohanian Alam Melayu.
Cadangan itu bukan untuk mewajibkan amalan sunat atau menafikan susunan wirid lain yang mempunyai sandaran syarak, tetapi untuk memberi panduan yang tersusun, selain memberi bimbingan kepada imam mengenai bacaan, pengertian, dalil dan penghayatan.
“Kita tidak mahu masjid-masjid kita hanya tersergam indah dari sudut binaannya, tetapi kita juga mahu masjid-masjid kita hidup dengan ilmu, zikir, selawat, bacaan al-Quran dan pengimarahan rohani,” katanya.
Menutup perbahasan, beliau menyeru perpaduan ummah dipertahankan sebagai asas kemakmuran negeri, merujuk Surah Al-Anfal ayat 46 dan Surah Ali ‘Imran ayat 103.
Perbezaan pandangan, katanya, tidak semestinya membawa kepada permusuhan, dan perbezaan pendapat tidak seharusnya meruntuhkan persaudaraan.
“Kita boleh berbeza pandangan tanpa bermusuhan. Kita boleh berbeza pendapat tanpa saling membenci. Kita boleh berbahas tanpa meruntuhkan persaudaraan,” katanya.


