
KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, satu hospital yang berfungsi sebagai Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi perlu dibina dan pada masa yang sama menjadi pusat latihan terunggul perkhidmatan pra-hospital di negeri ini.
Menurutnya, tindakan perlu diambil untuk mengatasi kekurangan terutama sumber manusia dan kelengkapan ambulans di seluruh negeri Sabah sama ada di bandar atau kawasan pedalaman bagi memastikan perkhidmatan pra-hospital atau ambulans memberi rawatan berkualiti yang bernilai tinggi.
“Apabila menyebut rawatan kecemasan, pengoperasian perkhidmatan pra-hospital atau ambulans memainkan peranan penting.
“Ia sebagai sebahagian rangkaian penjagaan kesihatan secara berterusan kepada masyarakat dengan masa respon yang singkat dan pantas,” katanya pada majlis perasmian penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026 di Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu.
Hajiji berkata, peranan pegawai-pegawai sebagai ahli pertolongan cemas dalam kalangan masyarakat amatlah penting sementara menunggu ketibaan ambulans dan pasukan perkhidmatan pra hospital.
“Tindakan awal yang pantas, tepat dan berkesan bukan sahaja dapat mengurangkan risiko komplikasi, malah berupaya menyelamatkan nyawa mangsa.
“Sehubungan itu, usaha-usaha melatih lebih ramai Ahli Pertolongan Cemas dengan menyediakan pasukan yang berkemahiran dan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan kecemasan sangat penting dalam suasana kecemasan bagi mengurangkan kadar kematian,” kongsinya.
Berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, populasi Sabah seramai kira-kira 3.4 juta orang tersebar di kawasan geografi yang luas dengan kepadatan penduduk purata yang rendah iaitu 46 orang bagi setiap kilometer persegi.
Dengan persekitaran sebegini, katanya, kelangsungan hidup pada minit-minit awal kecemasan amat bergantung kepada orang awam dan responden pertama komuniti yang terlatih untuk memulakan CPR.
Dalam pada itu, Hajiji turut menggesa setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memanfaatkan sebahagian peruntukan masing-masing untuk melatih pasukan berkemahiran dan bersiap siaga menghadapi kecemasan, selaras aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam menjamin kesejahteraan serta keselamatan rakyat.
“Lebih ramai Ahli Pertolongan Cemas dalam kalangan orang awam perlu dilatih untuk mencapai sasaran, ‘Satu orang Ahli Pertolongan Cemas setiap Keluarga’,” katanya.
Sebagai rekod, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini, termasuk di Sabah, diikuti oleh penyakit serebrovaskular (strok) dan kemalangan jalan raya, katanya.
Statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut menunjukkan trend peningkatan panggilan kecemasan melalui talian 999 di negeri ini, daripada 14,256 panggilan pada tahun 2024, meningkat kepada 15,434 panggilan pada tahun 2025, dan telah merekodkan sebanyak 10,154 panggilan setakat September tahun ini.


