
KANGAR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis bersama Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Utara memperkukuh pendekatan komunikasi dua hala dengan masyarakat bagi mengenal pasti dan menangani isu keselamatan komuniti secara lebih berkesan.
Kerjasama itu membuka ruang kepada masyarakat menyuarakan kebimbangan serta cadangan secara langsung kepada agensi kerajaan, khususnya berkaitan keselamatan sempadan dan ancaman kemasukan dadah.
Penolong Pengarah (Awam) MKN Perlis, Ahmad Wazir Asyraf Subri berkata, pelbagai isu keselamatan dan sosial dikenal pasti hasil perbincangan bersama komuniti yang akan diperhalusi sebelum dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan susulan, katanya.
“Hasil daripada perbincangan bersama komuniti, kita dapat mengenal pasti pelbagai isu berkaitan keselamatan dan sosial yang berlaku di Perlis.
“Kita akan membawa isu berkenaan ke platform yang bersesuaian, termasuk ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan sebarang kekurangan diteliti dan penambahbaikan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas Program Memperkasa Komunikasi dan Keselamatan Komuniti berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir, Penolong Pengarah JKOM Zon Utara, Nur Mastura Hassan.

Menurut Ahmad Wazir Asyraf, pendekatan itu selaras dengan fungsi MKN sebagai peneraju pengurusan keselamatan negara, selain memastikan pandangan masyarakat diberi perhatian dalam usaha mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih selamat.
Beliau berkata, kerjasama strategik dengan JKOM turut akan diperluas bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 yang sedang dirancang untuk disebarluaskan kepada umum.
Katanya, walaupun dasar berkenaan belum diwartakan secara rasmi, MKN sudah merancang gerak kerja penyampaian maklumat kepada masyarakat dengan menekankan bahawa keselamatan negara bukan hanya tanggungjawab agensi penguatkuasaan, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh komuniti.
Sementara itu, seorang peserta, Ghazlan Mohamad berkata, program seumpama itu perlu diadakan dengan lebih kerap selain memperuntukkan masa yang lebih panjang bagi membolehkan peserta memperoleh maklumat secara menyeluruh sebelum disampaikan dengan tepat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“JKOM sebagai jantung kerajaan perlu memperbanyak program seumpama ini bagi menyediakan saluran komunikasi dua hala yang berkesan antara rakyat dengan agensi kerajaan berkaitan.
“JKOM juga perlu memperluas kerjasama strategik dengan jabatan dan agensi kerajaan supaya dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara langsung kepada masyarakat menerusi pemimpin komuniti yang berperanan sebagai penghubung utama atau ‘key communicator’.
“Pada masa sama, maklum balas dan pandangan masyarakat perlu disalurkan terus kepada agensi berkaitan bagi membolehkan penambahbaikan perkhidmatan kerajaan dilaksanakan mengikut keperluan rakyat,” katanya.


