
KUALA LUMPUR – Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilancarkan pada Isnin hanya berfungsi menghantar notifikasi kecemasan kepada pengguna tanpa mengakses sebarang data peribadi pemilik peranti.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sistem kendalian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) untuk menyalurkan amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi ditetapkan, tanpa memerlukan pemasangan aplikasi atau pendaftaran.
Menurutnya, teknologi berkenaan berbeza daripada sistem pesanan ringkas (SMS) kerana tidak memerlukan maklumat nombor telefon penerima atau mengakses data daripada peranti pengguna.
“MySiren ini berbeza dengan kaedah SMS (sistem pesanan ringkas), di mana pesanan dihantar kepada nombor penerima, sistem yang digunakan ini tidak mendapatkan apa-apa maklumat mahupun data daripada peranti pengguna.
“Ia juga tidak melibatkan sebarang kos kepada penerima pesanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan MySiren di Bangunan Parlimen, di sini, pada Isnin yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fatih Din.

Fahmi berkata, ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara dijadualkan pada 10.10 pagi, 29 November ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem berkenaan mampu menyampaikan maklumat atau amaran dengan lebih pantas dan serentak kepada semua peranti berbanding kaedah penghantaran SMS.
“Kalau SMS, dia akan melalui queue daripada telco. Ini dia bypass telco, terus kepada apa disebut… sebagai alat pemancar, semua menara telekomunikasi boleh bertindak sebagai pemancar bagi mesej amaran bencana.
“Jadi semua pengguna yang berada dalam satu lingkungan menara ataupun pemancar yang aktif, semua peranti itu akan mendapat maklumat yang sama pada waktu yang sama,” katanya.
Menurutnya, MCMC kekal sebagai agensi yang mengendalikan sistem MySiren, manakala pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut boleh mengakses sistem berkenaan.
Fahmi berkata, fokus awal MySiren adalah untuk menyalurkan amaran berkaitan banjir, tanah runtuh dan bencana alam, sebelum diperluaskan kepada maklumat lain termasuk kebakaran, kehilangan individu atau kanak-kanak serta perkara berkaitan kecemasan di bawah bidang kuasa PBT.
Sistem itu mula dibangunkan pada 2025 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkannya ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, dengan kos keseluruhan RM200 juta.

Sementara itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan simulasi sistem turut dilaksanakan di pekarangan Bangunan Parlimen pada Isnin bagi menguji keupayaan menyalurkan mesej berserta bunyi amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan ditetapkan.
Bagi ujian penerimaan amaran secara serentak di seluruh negara pada 29 November ini, orang ramai disarankan mengemas kini telefon mudah alih masing-masing kepada versi sistem operasi terkini atau sekurang-kurangnya iOS 27.2 bagi iPhone, Android 12 bagi telefon Android dan EMUI 16 bagi telefon Huawei.
Pengguna juga perlu memastikan tetapan amaran kecemasan seperti Government Alerts atau Wireless Emergency Alerts (WEA) diaktifkan pada peranti masing-masing.
Bagaimanapun, penerimaan amaran tertakluk kepada keserasian peranti, tetapan telefon serta liputan dan ketersediaan rangkaian mudah alih 4G atau 5G.
MCMC berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan NADMA, agensi teknikal berkaitan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan sistem itu bersedia untuk beroperasi sebelum diperluas pelaksanaannya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai MySiren melalui www.mcmc.gov.my/mysiren serta saluran media sosial rasmi MCMC.


