
LAWAS – Pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas setinggi 15 tingkat dijangka memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam menerusi penyatuan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pendekatan pusat sehenti itu membolehkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan dengan lebih mudah tanpa perlu berulang-alik ke bangunan berlainan.
Menurutnya, kemudahan berkenaan bukan sahaja menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif kepada penjawat awam, malah bertujuan mempercepatkan urusan pentadbiran serta meningkatkan keselesaan masyarakat.
“Bangunan ini bukan sekadar menyediakan ruang pejabat, tetapi juga memastikan urusan rakyat dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas di Padang Bola Sepak Lawas, pada Rabu.
Kompleks milik Jabatan Premier Sarawak menerusi Unit Pentadbiran itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk Pusat Service Sarawak, dewan persidangan, bilik mesyuarat, ruang solat serta tempat letak kenderaan.
Bagi kemudahan pengunjung, bangunan tersebut turut menyediakan enam lif di menara pejabat dan tiga lif tambahan untuk akses ke dewan, selain laluan landai serta tandas mesra orang kurang upaya (OKU).
”Kemudahan mesra pengguna itu penting bagi memastikan semua lapisan masyarakat, khususnya warga emas dan golongan OKU, dapat menguruskan keperluan mereka dalam keadaan lebih selesa,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penyediaan bangunan moden perlu disertai peningkatan mutu perkhidmatan serta kerjasama erat antara jabatan dan agensi kerajaan.
Katanya, setiap jabatan perlu memberikan perhatian kepada tiga perkara utama, iaitu memudahkan urusan rakyat, memperkukuh penyelarasan antara agensi dan memastikan permohonan orang ramai ditangani tanpa kelewatan yang tidak munasabah.
“Pegawai berkaitan hendaklah bekerjasama supaya rakyat tidak perlu menjadi penghubung antara jabatan. Kenal pasti punca kelewatan dan maklumkan perkembangan kepada pemohon,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya lebih proaktif mendekati masyarakat bagi mendengar pandangan, mengenal pasti masalah serta memastikan setiap maklum balas diberikan tindakan sewajarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, pembangunan pusat pentadbiran berkenaan selaras dengan perkembangan Lawas yang mempunyai kedudukan strategik berhampiran sempadan Sabah dan Brunei Darussalam.
Kedudukan itu turut memberikan potensi kepada Lawas untuk berkembang sebagai kawasan kegiatan ekonomi dan perdagangan di utara Sarawak.
Sehubungan itu, beliau berharap kemudahan pentadbiran bersepadu berkenaan dapat meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kerajaan serta memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat setempat.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak


