
SANDAKAN – Kempen ‘Rasa Sandakan Food Trail 2.0’ kembali dianjurkan bagi mempromosikan Sandakan sebagai destinasi gastronomi, sekali gus mengukuhkan hasrat menjadikan daerah itu sebagai Ibu Kota Makanan Sabah.
Presiden Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN), Teo Chee Kim berkata, peserta yang melengkapkan cabaran jejak makanan mengikut beberapa peringkat berpeluang menebus baucar makanan yang diperkenalkan persatuan itu.
Menurutnya, peserta yang berjaya mengunjungi kesemua 10 lokasi dalam senarai jejak makanan berkenaan turut menerima cenderamata eksklusif edisi terhad selain layak menyertai cabutan bertuah dengan hadiah menarik.
Beliau berkata, kempen itu bertujuan memperluaskan pendedahan terhadap kepelbagaian sajian tempatan Sandakan menerusi platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Xiaohongshu (Red Note).
“Usaha ini diharap dapat memperkenalkan keunikan budaya makanan Sandakan kepada masyarakat tempatan serta pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Pada masa sama, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas persatuan untuk memperkukuh aspirasi Sandakan sebagai Ibu Kota Makanan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Bagi memeriahkan kempen berkenaan, STAN turut bekerjasama sekali lagi dengan pempengaruh media sosial popular dari Sabah, Miao in Sabah bagi menghasilkan video promosi untuk memperluaskan capaian kempen kepada khalayak tempatan dan antarabangsa.
Teo berkata, kempen itu akan berlangsung selama sebulan bermula 22 November ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang menyertai cabaran jejak makanan berkenaan.
Katanya, kerjasama semua pihak diharap dapat meningkatkan capaian promosi dan pendedahan media terhadap sektor makanan Sandakan, sekali gus menjadikan pengalaman gastronomi sebagai antara pemacu utama pertumbuhan pelancongan daerah itu pada masa hadapan.
Edisi kedua inisiatif STAN itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), rakan industri pelancongan tempatan serta penyertaan 32 pengusaha makanan dan minuman.


