
ENGLAND menamatkan rekod tanpa kalah juara dunia, Sepanyol selepas mencatat kemenangan dramatik 3-2 dalam aksi Liga Negara-Negara di Madrid, awal pagi tadi, sekali gus mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan A3.
Jaringan Harry Kane, Ezri Konsa dan Ben White memastikan kekalahan pertama Sepanyol dalam perlawanan kompetitif sejak Mac 2023, selepas mencatat 44 aksi tanpa tewas.
England bagaimanapun terpaksa mengharungi detik cemas apabila Elliot Anderson dilayangkan kad merah pada babak kedua, ketika Sepanyol bangkit merapatkan jurang menerusi jaringan Mikel Oyarzabal dan Nico Williams.
Namun, kebangkitan skuad kendalian Luis de la Fuente itu tidak cukup untuk mengelakkan kekalahan, sekali gus menyaksikan rekod tanpa kalah mereka berakhir.
Kedua-dua pasukan sudah mengesahkan kemaraan ke suku akhir, namun kejayaan muncul juara kumpulan membolehkan England mendapat status sebagai pasukan pilihan pada undian pusingan itu yang dijadual berlangsung Mac depan.
Sepanyol sebelum ini menewaskan England pada final Euro 2024 sebelum menambah gelaran juara dunia kedua mereka pada musim panas tahun ini, manakala skuad The Three Lions sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga.
“Kami tahu kami akan menewaskan mereka malam ini. Mesej daripada pengurus selepas perlawanan menentang Croatia (Khamis lalu) sangat positif.
“10 minit pertama adalah aksi terbaik yang pernah kami pamerkan,” kata pemain tengah England, Declan Rice kepada ITV.
Sementara itu, jurulatih England, Thomas Tuchel, memuji persembahan cemerlang anak buahnya di ibu kota Sepanyol itu.
“Kami mempamerkan segala-galanya di atas padang. Kami beraksi dengan berani, dari segi semangat, tenaga dan juga kualiti permainan pada tahap tertinggi,” katanya kepada ITV.
Kane membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada penghujung babak pertama selepas dijatuhkan Pau Cubarsi dalam kotak penalti.
Konsa kemudian menanduk masuk gol kedua hasil sepakan penjuru Rice pada minit ke-53, sebelum White meledak gol ketiga empat minit kemudian hasil gerakan pantas Kane dan Jude Bellingham.
Sepanyol memperoleh peluang bangkit apabila Anderson menjatuhkan Lamine Yamal dalam kotak penalti, dilayangkan kad merah, sebelum Oyarzabal menyempurnakan sepakan penalti untuk merapatkan kedudukan.
Williams kemudian menghidupkan peluang Sepanyol menerusi jaringan kedua selepas menerima hantaran Yamal, namun England bertahan hingga wisel penamat.



