
KUALA LUMPUR – Selepas hampir 10 tahun menanti, penduduk Sri Pahang kini selangkah lebih dekat untuk berpindah ke kediaman baharu menerusi pembangunan Residensi Maarof.
Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, seramai 647 daripada 716 penduduk yang terlibat sudah mendaftar bagi proses pengundian dan tawaran unit kediaman berkenaan.
Beliau berkata, sesi pengundian dan tawaran unit Residensi Maarof itu berlangsung hari ini di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Selepas hampir 10 tahun menanti, pastinya hari ini cukup bermakna buat mereka. Impian untuk memiliki kediaman baharu kini semakin hampir menjadi kenyataan.
“Saya menghargai kesabaran dan kerjasama penduduk sepanjang proses pembangunan semula ini. Proses pengundian hari ini merupakan satu lagi langkah penting sebelum mereka berpindah ke kediaman baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Fahmi berkata, Residensi Maarof dijadualkan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan DBKL dan semua pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan serta kepentingan penduduk sentiasa diberi keutamaan.



