PETALING JAYA – Seramai 96,844 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah bagi tempoh 2024 hingga September 2026.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, jumlah tangkapan warga asing meningkat 10.9 peratus atau 3,604 kes kepada 36,740 tangkapan pada 2025 berbanding 33,136 tangkapan pada tahun sebelumnya.
“Bagi tempoh Januari hingga September lalu pula, seramai 26,968 tangkapan warga asing direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan kegiatan jenayah yang membabitkan warga asing di negara ini.
Katanya, usaha penguatkuasaan turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan agensi kerajaan lain, termasuk pelaksanaan operasi bersepadu, perkongsian risikan dan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan.
Mohd Khalid berkata, PDRM sentiasa berpegang kepada prinsip kesamarataan di sisi undang-undang atau Equality Before the Law, yang menetapkan setiap individu tanpa mengira status, kedudukan atau kewarganegaraan tertakluk kepada undang-undang negara.
“Sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang tidak akan dikompromi dan akan ditangani menerusi tindakan penguatkuasaan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya terus memainkan peranan sebagai rakan strategik polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa.
Katanya, kerjasama dan keprihatinan masyarakat penting bagi membantu usaha pencegahan jenayah, sekali gus memastikan keselamatan serta ketenteraman awam negara sentiasa terpelihara.



