PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dituntut menarik balik kenyataannya yang membandingkan pemerintahan orang Islam dengan bukan Islam yang didakwa zalim serta memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat bukan Islam.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat ( PKR), Sivamalar Genapathy berkata, kenyataan Hadi yang mendakwa ‘sejahat-jahat orang Islam tidak sezalim orang bukan Islam’ sebagai keterlaluan dan boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
Beliau berkata, kejahatan dan kezaliman seseorang tidak sepatutnya dinilai berdasarkan agama yang dianuti, sebaliknya berdasarkan perbuatan individu berkenaan.
“Sejak bila agama menjadi ukuran kejahatan seseorang? Orang Islam tidak wajar dijadikan bahan perbandingan untuk menghina penganut agama lain.
“Kejahatan dan kezaliman mesti dinilai berdasarkan perbuatan, bukan agama,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Sivamalar turut mempersoalkan kenyataan berkenaan yang didakwa dibuat ketika kempen pilihan raya di pentas Grand Finale Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), kurang 48 jam sebelum pengundi Melaka keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurutnya, kenyataan sedemikian menimbulkan persoalan mengenai pendekatan politik yang dibawa Pas dalam usaha mendapatkan mandat rakyat.
“Jika ketika memburu undi pun Hadi begitu berani mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan rakyat, bayangkan apa yang mampu beliau katakan dan lakukan jika diberi kuasa mentadbir negara.
“Adakah ini gambaran Malaysia yang mahu dibentuk oleh Pas?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta MCA, MIC, Parti India Malaysia (MIPP) dan Gerakan menyatakan pendirian berhubung kenyataan Hadi yang menyentuh masyarakat bukan Islam.
Katanya, parti-parti berkenaan tidak seharusnya berdiam diri apabila maruah masyarakat bukan Islam dipersoalkan oleh pemimpin daripada sekutu politik sendiri.
“Di mana suara kamu apabila maruah masyarakat bukan Islam dipersoalkan di hadapan rakan politik sendiri?
“Adakah kepentingan politik dan kerusi pilihan raya lebih penting daripada prinsip mempertahankan keharmonian rakyat?” katanya.
Sivamalar turut mengingatkan parti-parti berkenaan supaya tidak hanya memperjuangkan hak masyarakat bukan Islam ketika berkempen, tetapi mengambil pendirian apabila timbul kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pimpinan BN – PN juga perlu menyatakan pendirian secara terbuka terhadap kenyataan Presiden Pas berkenaan.
“Saya menuntut Hadi menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka. Pimpinan BN dan PN juga mesti menyatakan pendirian mereka.
“Berdiam diri bukan jawapan apabila pemimpin politik menggunakan agama untuk membezakan darjat manusia,” katanya.
Beliau berkata, pilihanraya bukan sekadar medan memilih wakil rakyat, sebaliknya turut memberi ruang kepada rakyat menilai pendirian dan pendekatan kepimpinan parti yang bertanding.
“Malaysia memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat, bukan pemimpin yang menjadikan perbezaan agama sebagai senjata politik,” katanya.
Dalam ceramah malam semalam, Hadi didakwa berkata politik orang Islam berlegar dalam perkiraan dosa dan pahala tidak sebagaimana pemeritahan bukan Islam.
Sebab itu, katanya perlu mengundi dan melantik orang Islam memimpin.
“Sejahat-jahat orang Islam, seburuk-buruk orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam,” katanya.

