
AGAMA tidak sepatutnya dijadikan alat untuk memecah-belahkan masyarakat atau memberikan perlindungan moral kepada pemimpin yang terpalit dengan rasuah, sebaliknya perlu menjadi asas kepada keadilan dan perpaduan.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penilaian terhadap keadilan dan kezaliman seseorang pemimpin tidak seharusnya dibuat berdasarkan agama semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira akhlak, integriti, tindakan serta tanggungjawab mereka.
“Saya memandang serius kenyataan bahawa sejahat-jahat orang Islam yang memerintah negara sekalipun tidak sezalim orang bukan Islam, seperti yang dilaporkan dalam ceramah politik di Melaka.
“Kezaliman berdasarkan agama seseorang, bukannya berdasarkan akhlak, integriti, tindakan dan tanggungjawab seseorang pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 8 yang mengingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong mereka berlaku tidak adil.
“Amat dikesali ada yang membuat kesimpulan bahawa orang Islam yang zalim tetap lebih baik daripada orang bukan Islam, hanya kerana perbezaan agama.
“Seseorang pemimpin tidak hanya dinilai berdasarkan identiti agamanya semata-mata, tetapi berdasarkan amanah, keadilan dan keupayaannya melindungi rakyat,” katanya.

Saifuddin berkata, Rasulullah SAW turut mengingatkan bahawa setiap manusia ialah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka yang berada di bawah kepimpinannya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kesalahan seperti rasuah, penindasan dan pengkhianatan terhadap amanah tetap merupakan satu kesalahan tanpa mengira siapa pelakunya.
“Rasuah tetap rasuah. Penindasan tetap penindasan. Pengkhianatan terhadap amanah tetap satu kesalahan, siapa pun pelakunya.
“Jangan kita menggunakan agama untuk memberikan perlindungan moral kepada pemimpin yang rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kemuliaan Islam tidak dibina dengan merendahkan agama lain, sebaliknya melalui keadilan, akhlak, ilmu, amanah dan contoh kepimpinan yang baik.
Katanya, kekuatan orang Melayu dan umat Islam juga tidak akan terhakis hanya kerana menghormati hak kaum serta agama lain.
Sebaliknya, umat Islam akan lebih dihormati apabila menjadi contoh terbaik dalam aspek keadilan, kemajuan, kebijaksanaan dan sifat rahmah terhadap seluruh manusia.
Mengulas mengenai pilihan raya, Saifuddin berkata, proses demokrasi sepatutnya menjadi ruang untuk rakyat menilai rekod prestasi, integriti dan kemampuan calon serta parti politik.
Justeru, katanya, pilihan raya tidak seharusnya dijadikan medan untuk membangkitkan ketakutan dan prasangka berasaskan kaum serta agama.
