
GENERASI terdahulu perlu mengakui kesilapan memilih pemimpin yang terpalit dengan rasuah sehingga memberi kesan kepada masa depan golongan muda, kata bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Mujahidin Zulkiffli.
Menerusi satu pesanan terbuka kepada anak muda di Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau yang membahasakan dirinya pakcik memohon maaf kerana generasi terdahulu didakwa gagal membuat pilihan politik yang mampu menjamin masa depan lebih baik kepada generasi seterusnya.
“Lebih 60 tahun hanya satu parti berkuasa, parti biru tua. Terlalu banyak penyelewengan dan salah guna kuasa hinggakan kami sendiri hidup sukar. Rasuah berleluasa, ketirisan di sana sini menyebabkan segalanya mahal.
“Projek kerajaan yang sepatutnya berharga RM10 juta, boleh jadi RM15-20 juta, RM10 billion jadi RM15-20 billion. Kosnya memang kerajaan yang tanggung tapi kerajaan dapat dari hasil cukai negara yang asalnya daripada penat lelah kami bekerja.
“Bayangkan projek RM100 juta jadi RM200 juta kerana ketirisan dan rasuah. Sepatutnya boleh dapat dua sekolah tapi hanya dapat satu. Boleh dapat dua hospital tapi hanya dapat satu. Boleh dapat jalan empat lorong tapi hanya dapat dua lorong. Alangkah ruginya,” katanya di Facebook.

Mujahidin turut membangkitkan isu perpecahan masyarakat yang menurutnya berpunca daripada politik berasaskan sentimen kaum dan agama.
Beliau mendakwa gabungan parti biru dan hijau dalam PRN Melaka kali ini menggunakan pendekatan sedemikian sehingga mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan pentadbiran serta kegagalan meningkatkan taraf ekonomi di negeri yang ditadbir mereka.
Dalam masa sama, beliau mengakui parti-parti merah juga mempunyai kelemahan, namun berpandangan rekod pentadbiran semasa menunjukkan potensi untuk memperbaiki ekonomi negara dan membanteras rasuah.
“Lebih mudah untuk parti biru dan parti hijau mengawal rakyat miskin kerana keperluan rakyat miskin hanyalah beberapa bakul makanan, duit zakat, bantuan Jabatan Kebajikan, bantuan tunai dan setiap lima tahun, sampul surat berisi RM100-RM300 untuk mengingatkan rakyat undilah mereka.
“Sampai bila kita mahu berada dalam kitaran hidup yang sebegini? Generasi pakcik hampir berjaya menghumbankan mereka pada 2018.
“Tetapi kerana perebutan kuasa, dan tidak dapat bersatu padu, mereka akhirnya berjaya kembali ke dalam kerajaan. Tidak kiralah salah siapa pun, yang penting bukan salah generasi korang. Ini semua salah generasi pakcik dan generasi mak bapak pakcik.
“Tapi mahukah korang terus menerus diperintah seperti kami?” tanyanya lagi.

Sehubungan itu, Mujahidin berpandangan parti-parti berkenaan wajar diberikan sekurang-kurangnya dua penggal lagi untuk meneruskan usaha memperbaiki pentadbiran negara.
“Parti merah dan merah bunga raya pula mempunyai potensi yang sangat cerah untuk mengurangkan gejala rasuah dan ketirisan. Bukan nak kata langsung tiada, mana-mana pun pasti akan ada tapi yang paling penting mesti ada kesan dan usaha untuk membanteras rasuah yang berleluasa.
“Pakcik rasa negara kita memerlukan pemerintahan parti-parti merah sekurang-kurangnya untuk dua penggal lagi. Tapi sekurang-kurangnya berilah satu penggal untuk mereka perbetulkan apa yang sempat. Janganlah kita terlalu cepat menghukum dan mengembalikan negara kita kepada mereka yang berpuluh tahun rakus menggadai negara,” katanya.

Mengulas PRN Melaka, beliau menyifatkan pilihan raya itu sebagai peluang penting kepada golongan muda untuk menentukan hala tuju politik negara.
“Pilihan raya negeri Melaka boleh menjadi medan penentu sama ada negara kita menghala ke arah yang lebih baik atau kembali ke era rasuah berleluasa. Masa depan ‘korang’ di tangan ‘korang’.
“Janganlah kita gadaikan masa depan lagi. Sedarlah agenda penyatuan tidak menjamin masa depan yang baik untuk sesiapa pun,” katanya.

