
KUALA LUMPUR – Malaysia menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) menerima penghargaan daripada Arab Saudi atas kerjasama dan sumbangan dalam menjayakan pengurusan ibadah korban dan dam di Tanah Suci bagi musim haji 1447H/2026M.
TH memaklumkan, penghargaan itu diberikan oleh The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilization of Hady & Adahi (Adahi) susulan kerjasama yang dilaksanakan sepanjang musim haji lalu.
“Adahi, di bawah seliaan The Royal Commission for Makkah City and Holy Sites merupakan inisiatif kerajaan Arab Saudi bagi menyelaras pelaksanaan ibadah korban, dam, fidyah, sedekah dan akikah.
“Ia merangkumi pengurusan penyembelihan di tujuh kompleks pemprosesan bersepadu di Makkah sebelum hasilnya diagihkan kepada golongan yang layak di lebih 27 negara seluruh dunia,” menurut kenyataan itu di Facebook pada Khamis
Penghargaan itu mencerminkan kerjasama Malaysia dan Arab Saudi dalam memastikan pengurusan ibadah korban dan dam dilaksanakan secara tersusun, selain memperluas manfaatnya kepada golongan yang memerlukan di peringkat antarabangsa.


