
BINTULU – Pendekatan bersepadu merangkumi pencegahan awal, rawatan, pemulihan dan sokongan komuniti perlu diperkukuh bagi menangani masalah sosial di Sarawak, khususnya penyalahgunaan dadah, kesihatan mental dan konflik kekeluargaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, usaha menangani permasalahan tersebut tidak boleh bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh pelbagai pihak.
Menurutnya, pembangunan pesat Sarawak perlu diseimbangkan dengan usaha memperkukuh kesejahteraan sosial bagi memastikan masyarakat dapat menikmati kemajuan negeri dalam persekitaran yang selamat dan harmoni.
“Selain memperkukuh usaha penguatkuasaan, pendekatan pencegahan awal, rawatan, pemulihan dan sokongan komuniti perlu terus dipertingkatkan bagi menangani permasalahan ini secara menyeluruh,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Masyarakat 2026 anjuran bersama OSC MIDS Daerah Bintulu dan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), pada Khamis.
Mohammad Razi berkata, institusi keluarga turut memainkan peranan penting sebagai benteng utama dalam mencegah masalah sosial, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Hubungan kekeluargaan yang erat, komunikasi berkesan serta penerapan nilai kasih sayang dan tanggungjawab mampu membantu membentuk persekitaran sosial yang lebih sihat,” ujar beliau.
Beliau berkata lagi, kerjasama antara kerajaan, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan belia dan institusi pendidikan juga perlu diperkukuh bagi memastikan langkah pencegahan serta intervensi dapat dilaksanakan secara berkesan.
Dalam pada itu, sebanyak 12,323 tangkapan berkaitan kesalahan dadah direkodkan di seluruh Sarawak bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, 9,545 tangkapan melibatkan kategori penagih, manakala 2,219 kes berkaitan pemilikan dadah dan 559 lagi membabitkan kes bekalan dadah.
Mohammad Razi berkata, selain penyalahgunaan dadah, cabaran sosial semasa turut melibatkan keganasan rumah tangga, masalah sosial dalam kalangan remaja, buli siber serta ancaman keselamatan digital.
“Masalah sosial memerlukan perhatian berterusan kerana berpotensi menjejaskan keharmonian keluarga dan kestabilan komuniti sekiranya tidak ditangani secara berkesan,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperluas kesedaran masyarakat serta memperkukuh penglibatan komuniti dalam usaha menangani masalah sosial dari peringkat awal.
Sementara itu, Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Masyarakat 2026 yang berlangsung selama dua hari itu membawa tema ‘Membina Spiritualiti, Memperkasa Komuniti, Mensejahterakan Sarawak’.
Program berkenaan menampilkan sesi wacana, bengkel dan perbincangan meja bulat yang memberikan tumpuan kepada lima bidang utama, iaitu pengurusan ketagihan, kesihatan mental, keluarga berdaya tahan, keselamatan digital serta spiritualiti dan kesejahteraan sosial.


