
JAKARTA – Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, secara rasmi mengemukakan peletakan jawatannya daripada jawatan kedua tertinggi negara itu.
Pengerusi Projo, Budi Arie Setiadi mengesahkan perkara itu sehari selepas Gibran menyatakan hasrat untuk berundur dalam pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto.
“Benar,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai peletakan jawatan Gibran, seperti dilaporkan Antara.
Beberapa laporan media tempatan memetik Budi sebagai mengesahkan Gibran menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Prabowo dalam pertemuan di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta, semalam.
Projo yang ditubuhkan bagi menyokong bekas Presiden Joko Widodo, bapa Gibran, turut menyokong pasangan Prabowo-Gibran pada Pilihan Raya Presiden 2024.
Pada Selasa, Setiausaha Negara Indonesia, Prasetyo Hadi mendedahkan Gibran menyatakan hasrat meletakkan jawatan ketika mengadakan pertemuan selama dua setengah jam dengan Prabowo pada hari berkenaan.
Prasetyo berkata, Gibran menyampaikan hasrat itu ketika perkembangan perundangan berkaitan dokumen pendidikannya masih berjalan di Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung Indonesia

