
MALAYSIA mencatat kemajuan ketara dalam landskap digital dan kecerdasan buatan (AI) global apabila melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-27 daripada 70 ekonomi dalam IMD World Digital and AI Ranking (WDAIR) 2026, sekali gus muncul sebagai negara kedua terbaik di ASEAN selepas Singapura.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan peningkatan keupayaan negara dalam penggunaan teknologi AI, kecekapan digital serta pelaksanaan strategi nasional berkaitan kecerdasan buatan.
Menurut beliau, antara peningkatan paling ketara ialah aspek penggunaan AI yang melonjak 21 anak tangga ke kedudukan ke-14 dunia, manakala kecekapan digital meningkat 10 anak tangga ke tangga ke-28.
“Lebih signifikan, pelaksanaan strategi AI nasional Malaysia turut berada pada kedudukan ke-12 dunia, menggambarkan perkembangan usaha negara membangunkan ekosistem teknologi yang lebih berdaya saing.
“Malaysia turut merekodkan pencapaian memberangsangkan dalam beberapa indikator utama lain, termasuk kedudukan ke-18 bagi pembangunan tenaga kerja, kedua dunia bagi graduan sains, kelima bagi modal teroka, keenam bagi eksport berteknologi tinggi dan kelapan bagi insentif pelaburan AI,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, perkembangan itu selari dengan hala tuju Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 (Negara AI 2030) yang menyasarkan pewujudan sehingga 300,000 pekerjaan baharu berkaitan AI.
“Kedua-dua pelan berkenaan turut menyasarkan sumbangan tambahan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 1.2 mata peratusan menjelang 2030, sekali gus meletakkan teknologi sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
“Bagi memastikan manfaat transformasi digital turut dinikmati perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta golongan muda, kerajaan menerusi Belanjawan MADANI 2027 memperuntukkan RM30 juta melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya.
Anwar berkata, peruntukan itu bertujuan membantu 4,000 PMKS mengadaptasi teknologi AI dan mengautomasi operasi perniagaan, selain melatih serta memperakui 5,000 profesional AI bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Dalam pada itu, tambahan 100,000 langganan AI percuma akan disediakan kepada golongan muda bagi memperluas akses kepada teknologi berkenaan, selain menggalakkan penguasaan kemahiran digital.
Peningkatan kedudukan Malaysia dalam WDAIR 2026 bukan sahaja mencerminkan kemajuan keupayaan digital negara, malah memperkukuh kedudukan agenda pendigitalan dan AI sebagai antara pemacu utama daya saing ekonomi, tarikan pelaburan berteknologi tinggi serta pewujudan peluang pekerjaan baharu menjelang 2030.

