
DOHA – Kerjasama antarabangsa yang lebih erat amat penting bagi menangani cabaran semakin kompleks dalam sektor telekomunikasi global, memandangkan tiada negara mampu menghadapinya secara bersendirian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkembangan teknologi yang pesat serta kemunculan pelbagai cabaran baharu memerlukan negara-negara memperkukuh hubungan, berkongsi pengalaman dan mencari penyelesaian secara bersama.
“Saya berharap jaringan hubungan yang telah kita bina sepanjang menghadiri Persidangan Perwakilan Penuh ITU ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk memperluas kerjasama.
“Sama ada di luar persidangan atau di negara masing-masing, kerana saya percaya tiada negara mampu menangani sebahagian daripada cabaran ini secara bersendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis jamuan tengah hari anjuran Malaysia bagi mendapatkan sokongan terhadap pemilihan semula negara sebagai anggota Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030 di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha (DECC), di sini pada Rabu.

Majlis itu diadakan bersempena Persidangan Perwakilan Penuh ITU 2026 (PP-26) yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, penggubal dasar dan wakil badan kawal selia telekomunikasi dari seluruh dunia.
Fahmi yang mengetuai delegasi Malaysia berkata, negara kekal komited memperkukuh kerjasama antarabangsa selain mengekalkan pendirian berkecuali dalam menghadapi landskap digital global yang semakin kompleks.
“Malaysia bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan serta menyediakan ruang dan peluang bagi kerjasama. Kita sebuah negara yang berkecuali.
“Kita percaya kepada kebolehoperasian antara sistem dan yakin bahawa kerjasama akan membawa manfaat yang jauh lebih besar kepada semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memohon sokongan negara anggota ITU bagi pemilihan semula Malaysia sebagai anggota majlis berkenaan dengan proses pengundian dijadual berlangsung pada 16 November ini.
“Kami berharap mendapat sokongan anda semua dalam usaha untuk dipilih semula pada 16 November ini,” katanya.
Fahmi turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam pelaksanaan rangkaian teknologi generasi kelima (5G), khususnya peralihan daripada model rangkaian borong tunggal kepada pendekatan dwirangkaian.
“Kita satu-satunya negara di dunia yang melaksanakan rangkaian 5G menerusi model rangkaian borong tunggal dan juga satu-satunya negara yang beralih kepada penyelesaian dwirangkaian.
“Jadi, terdapat beberapa perkara yang berjaya kita laksanakan dan mungkin menarik minat anda semua,” katanya.
Malaysia yang menjadi anggota ITU sejak 1958 kini berusaha mendapatkan mandat baharu bagi penggal 2027-2030 sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan memperkukuh kerjasama telekomunikasi global dan memajukan pembangunan digital.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran; Duta Besar Malaysia ke Qatar, Faizal Razali; Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali serta Setiausaha Agung ITU, Doreen Bogdan-Martin.


