
SELEPAS 16 tahun tidak berubah, nasib atlet negara akhirnya bakal terbela apabila Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dijangka disemak semula.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari mengakui kadar insentif sedia ada yang kali terakhir disemak pada 2010, sudah tidak lagi setimpal dengan pengorbanan atlet yang mengharumkan nama Malaysia.
“Saya mengambil perhatian berkaitan isu SHAKAM yang dibangkitkan oleh atlet dan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.
“Kadar pemberian tersebut sudah lama diguna pakai dan wajar disemak semula. Keputusan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya, lapor Berita Harian.
Isu itu tercetus selepas tekong negara, Syahir Rosdi meluahkan kekecewaan apabila hanya menerima RM15,000 meskipun skuad sepak takraw menamatkan penantian 36 tahun untuk emas regu berpasukan di Sukan Asia.
Hakikatnya, jurang ganjaran itu amat ketara. Emas individu bernilai RM80,000, manakala bagi acara berpasukan lima orang ke atas, setiap atlet hanya menerima RM15,000 untuk emas, RM8,000 untuk perak dan RM4,000 untuk gangsa.
Lebih menyedihkan, Malaysia kini dilihat semakin ketinggalan berbanding Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina yang terus menambah baik skim ganjaran atlet mereka.

