
DOHA – Malaysia menegaskan kepentingan memperkukuh keselamatan siber dan perlindungan kanak-kanak dalam talian, selain memastikan pembangunan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, aspek kepercayaan dan keselamatan penting bagi memastikan orang ramai yakin menyertai ekonomi digital ketika kemajuan teknologi terus mengubah kehidupan serta corak pekerjaan masyarakat.
“Deklarasi itu sewajarnya memberikan penekanan terhadap keselamatan siber, perlindungan kanak-kanak dalam talian selain memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi baharu yang bertanggungjawab.
“Bagi Malaysia, inovasi perlu bergerak seiring dengan langkah perlindungan. Ini akan memberikan keyakinan kepada orang ramai untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Meja Bulat Peringkat Menteri sempena Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26), di sini, hari ini.
Fahmi berkata, Malaysia menyambut baik draf Deklarasi Menteri Doha yang menggariskan pendekatan menyeluruh dalam menangani peluang dan cabaran transformasi digital.
Katanya, deklarasi itu mencerminkan tiga keutamaan yang menjadi teras agenda digital negara, iaitu memastikan ketersambungan bermakna, menggalakkan keterangkuman digital serta mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.
Menurutnya, ketersambungan bermakna bukan sekadar menyediakan liputan rangkaian, sebaliknya turut memastikan perkhidmatan telekomunikasi kekal mampu milik, boleh dipercayai dan berdaya tahan bagi menyokong masyarakat serta aktiviti ekonomi.
Malaysia turut menyokong penekanan deklarasi itu terhadap pembangunan infrastruktur digital yang mampan dan berdaya tahan bagi memastikan kesinambungan komunikasi penting ketika kecemasan atau gangguan berlaku.
Dalam pada itu, Fahmi berkata transformasi digital perlu membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi geografi atau tahap kesediaan digital masing-masing.
Katanya, kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada pelaburan dalam kemahiran digital dan pembangunan keupayaan, selain menyokong inovasi supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat ekonomi digital.
“Ketika AI dan teknologi baharu yang lain terus berkembang, kita perlu memastikan negara membangun dan komuniti yang kurang mendapat akses tidak keciciran.
“Mereka bukan sahaja perlu diberi peluang untuk menggunakan teknologi ini, malah berpeluang membentuk hala tuju pembangunan teknologi berkenaan dan menikmati manfaat daripada peluang yang ada,” katanya.
Fahmi turut menyambut baik keutamaan deklarasi itu terhadap kerjasama antarabangsa serta mengiktiraf peranan penting ITU dalam memperluas ketersambungan, membangunkan piawaian teknikal dan memperkukuh keupayaan digital.
Beliau berkata, Malaysia berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan ITU dan negara anggota lain bagi membina masa depan digital yang lebih terhubung, inklusif dan selamat, selain memastikan peluang yang saksama untuk semua.



