
LIMBANG – Penganjuran sulung Limbang LUSIRun 2026 dijangka menjana limpahan sosioekonomi melebihi RM253,100 kepada peniaga dan pengusaha perkhidmatan tempatan, sekali gus memperlihatkan potensi acara sukan sebagai pemangkin ekonomi daerah itu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, manfaat ekonomi berkenaan dijangka dapat dirasai pengusaha hotel, inap desa, restoran, pengangkutan serta peniaga kecil menerusi kehadiran peserta dan pengunjung.
Menurutnya, program itu menyasarkan penyertaan 500 pelari berdaftar serta kehadiran 2,500 pengunjung karnival, sekali gus membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk memanfaatkan kegiatan pelancongan sukan.

Beliau berkata, kedudukan strategik Limbang yang bersempadan dengan Brunei Darussalam dan Sabah memberikan kelebihan kepada daerah berkenaan untuk menarik penyertaan serta kunjungan dari luar Sarawak.
“Penyertaan pelari dari Brunei Darussalam, Indonesia, Sabah, Labuan dan Semenanjung Malaysia membuktikan Limbang mempunyai potensi besar sebagai destinasi sukan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Larian Limbang LUSIRun 2026 di Lot 777, Arked MARA, pada Sabtu.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, penganjuran acara berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai pertandingan larian semata-mata kerana turut menyediakan ruang untuk memperkenalkan budaya dan keunikan masyarakat tempatan.
Menurutnya, acara larian santai sejauh tiga kilometer yang mengetengahkan pakaian tradisional etnik Sarawak merupakan antara pendekatan kreatif untuk mempromosikan warisan budaya Limbang kepada pengunjung.
Program itu turut menawarkan kategori larian separuh maraton sejauh 21 kilometer dan larian 10 kilometer bagi menggalakkan penyertaan pelbagai kumpulan masyarakat.
Dalam pada itu, Hasbi memuji komitmen Persatuan Anak-Anak Limbang Semenanjung (PAALS) dan Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang-Miri (DSLM) yang bekerjasama menjayakan penganjuran sulung acara berkenaan.
Beliau menyifatkan penglibatan anak Limbang yang berada di perantauan sebagai bukti hubungan mereka dengan kampung halaman terus terpelihara melalui kegiatan yang memberikan manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, kerjasama antara pertubuhan masyarakat, komuniti tempatan dan pihak berkaitan penting bagi memastikan acara sedemikian dapat dikembangkan pada masa hadapan.
Hasbi berharap LUSIRun dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi memperkukuh kedudukan Limbang dalam sektor pelancongan sukan, di samping menggalakkan gaya hidup sihat dan merancakkan kegiatan ekonomi setempat.
Penganjuran program itu turut melibatkan Petra Sulai dan Sabtu Matali selaku peneraju persatuan yang bekerjasama menjayakan acara berkenaan.


