TAWAU – Polis menahan dua lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan kes penipuan menggunakan modus operandi penebusan tiket loteri nombor sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai dan barangan kemas.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharín Ismail berkata, kedua-dua suspek berumur 51 dan 52 tahun itu ditahan hasil risikan dan operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
“Polis masih mengesan seorang lagi suspek warga Indonesia yang dikenali sebagai Raswandi Armansyah atau dikenali sebagai Roy, Salim atau Haji.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi IPD Lahad Datu di talian 089-881255 atau 016-2575282,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dzulbaharin berkata, suspek ditahan dipercayai menyasarkan wanita berusia dengan berpura-pura berkenalan sebelum meminta bantuan mangsa menebus tiket loteri Toto yang kononnya memenangi hadiah.
“Suspek kemudian menunjukkan tiket Toto dan cek tunai yang disyaki palsu sebelum membawa mangsa menaiki kereta.
“Mangsa kemudian diminta menyerahkan wang tunai atau barangan kemas sebagai wang jaminan sebelum suspek melarikan diri,” ujarnya.
Polis kemudian merampas sebuah kenderaan dan sekeping cek ‘Sport Toto’ selain meneruskan diasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



