
KOTA KINABALU – Orang ramai berpeluang menikmati tawaran pengurangan kadar kompaun saman Trafik sehingga 50 peratus pada Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah di Perkarangan Kompleks Stadium Likas di sini bermula 18 hingga 20 Oktober ini.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah menerusi hantarannya di Facebook berkata pembayaran hanya boleh dibuat di tapak program, zon lima, tertakluk terma dan syarat bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.
“Orang ramai dijemput hadir mengambil peluang membuat pembayaran saman pada masa yang ditetapkan, ‘Bayar lewat, bayar lebih’,” katanya dalam kenyataan itu pada Isnin.
Sehubungan itu, pelbagai inisiatif dan pengisian menarik disediakan oleh agensi kerajaan untuk semua rakyat sempena Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah termasuk perkhidmatan bergerak, Jualan MADANI, Konsert Sayangi Sabah, ‘Pocket Talk’ dari pelbagai agensi dan jabatan.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai program, orang ramai boleh melayari www.malaysiamadani.gov.my.







