JASIN – Pencalonan Esma Eazreen Husin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim mencerminkan usaha Wanita PKR memperkukuh penyertaan wanita dalam politik, selaras sasaran minimum 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, penyertaan lebih ramai wanita sebagai calon penting bagi memastikan suara dan aspirasi golongan itu diketengahkan, khususnya dalam isu masyarakat serta pembentukan dasar.
Beliau berkata, Esma mempunyai kelebihan tersendiri menerusi latar belakang akademik, pengalaman dalam masyarakat serta penglibatan aktif dalam kerja kemasyarakatan.
“Ini menunjukkan bahawa sebagai sebuah parti yang menyokong suara dan aspirasi wanita, kita mengambil langkah ini bagi memberikan pengiktirafan kepada golongan berkenaan. Kita berharap dengan usaha bersama ini, suara wanita dapat terus diketengahkan dan disampaikan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama calon DUN Rim itu, di sini, hari ini.
Dr Zaliha berkata, kehadiran lebih ramai wakil wanita di DUN penting bagi memastikan isu berkaitan golongan itu tidak terpinggir dalam perbincangan serta pembentukan dasar di peringkat negeri dan negara.
Katanya, sasaran 30 peratus keterwakilan wanita sudah lama diperjuangkan dan memerlukan sokongan masyarakat untuk direalisasikan.
“Sasaran 30 peratus itu sudah lama diperkatakan dan inilah masanya untuk rakyat memberikan sokongan terhadap aspirasi berkenaan kerana wanita mempunyai pemahaman dan penghayatan lebih mendalam terhadap isu yang berkaitan dengan golongan mereka,” katanya.
Sasaran minimum 30 peratus pencalonan wanita itu antara agenda yang diperjuangkan Wanita PKR, termasuk menerusi Retreat Wanita Keadilan 2026 yang menjadi platform penyelarasan strategi serta pembangunan kepimpinan wanita.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, PKR menampilkan tiga calon wanita daripada keseluruhan sembilan kerusi yang ditandingi, bersamaan 33.3 peratus.
Mereka ialah Esma bagi DUN Rim, Datuk Ginie Lim (Machap Jaya) dan Farzana Hayani Mohd Nasir (Klebang).
Sementara itu, Esma berkata, peluang bertanding di kawasan kelahirannya sendiri adalah satu penghormatan dan permulaan baharu untuk terus menyumbang kepada masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, Rim adalah kampung halaman saya. Di sinilah saya membesar, mengenali masyarakat dan bekerja bersama komuniti. Saya sudah lama terbabit dalam kerja kemasyarakatan.
“Jadi, inilah masanya untuk saya membantu dan menyumbang kembali kepada masyarakat. Ini juga satu rahmat dan permulaan baharu buat saya sebagai seorang wanita yang diberikan peluang untuk bertanding,” katanya.
Beliau berkata, penerimaan positif masyarakat sepanjang tempoh berkempen turut memberikan semangat untuk meneruskan usaha mendekati pengundi.
“Sepanjang kehidupan saya, saya sentiasa mendapat penerimaan daripada masyarakat. Walaupun kami berada di kawasan kampung, sambutan dan penerimaan yang diberikan amat positif,” katanya.
Pada PRN Melaka kali ini, Esma yang mewakili PH-PKR berdepan penyandang, Datuk Khaidhirah Abu Zahar daripada Barisan Nasional (BN), dalam pertandingan satu lawan satu bagi DUN Rim.



