
PASIR MAS – Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubuk Tapah dekat sini, menerima sumbangan berjumlah RM200,000 daripada Kerajaan MADANI yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Penyerahan cek cura di bawah Projek Penyelenggaraan dan Baik Pulih Institusi Pendidikan Islam Negeri Kelantan 2026 itu diserahkan kepada Pengerusi Madrasah berkenaan, Profesor Datuk Dr Luqman Abdullah.
Anwar turut meluangkan masa kira-kira 30 minit berkunjung ke kediaman Luqman sebelum menunaikan solat Maghrib bersama dengan lebih 100 penduduk di sekitar kampung berkenaan.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Sementara itu, Luqman berkata, antara kerja penyelenggaran yang akan dilaksanakan merangkumi pembaikan bangunan asrama dan pertukaran sistem pendawaian elektrik bagi memberi keselesaan kepada kira-kira 300 pelajar terdiri daripada penuntut lelaki, perempuan serta warga emas.
Dalam pada itu, Luqman turut mengimbau keakraban hubungan antara Allahyarham bapanya, Abdullah Abdul Rahman dengan Anwar yang menyaksikan mereka sering bertemu dan bertukar-tukar pandangan termasuk mengenai ilmu keagamaan serta pentadbiran.


