
SRI AMAN – Pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 sepanjang 870 meter pada Sabtu memendekkan masa perjalanan antara Sri Aman dengan Betong daripada kira-kira sejam kepada hanya 25 minit, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan dan pembangunan ekonomi kawasan berkenaan.
Jambatan itu merupakan jambatan mega ke-14 yang siap daripada keseluruhan 22 jambatan yang dibangunkan oleh kerajaan Sarawak menerusi peruntukan hampir RM7 bilion.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembukaan jambatan berkenaan menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha meningkatkan kemudahan pengangkutan dan memperluas akses pembangunan kepada masyarakat luar bandar.
Menurutnya, jambatan itu bukan sahaja menghubungkan Sri Aman dengan Betong, malah melengkapkan sebahagian jaringan Jalan Utama Kedua Sarawak yang menyediakan laluan lebih lancar ke kawasan utara negeri.

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna kepada rakyat Sarawak.
“Kita seharusnya berbangga kerana kerajaan negeri terus komited membangunkan infrastruktur yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pra-Pelancaran dan Pembukaan Jambatan Batang Lupar 2, pada Sabtu.
Uggah berkata, jambatan berkenaan turut mempunyai keistimewaan tersendiri apabila dilengkapi dua menara kabel setinggi 145.5 meter yang diiktiraf sebagai menara jambatan kabel tertinggi di Malaysia.
Menurutnya, pembukaan jambatan itu juga dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian, pelancongan dan perniagaan melalui jaringan pengangkutan yang lebih cekap.
Kemudahan perhubungan berkenaan turut memudahkan penghantaran hasil pertanian dan produk makanan ke pasaran lebih luas, selain membantu mengurangkan kos logistik pengusaha tempatan.
Dalam pada itu, pembukaan jambatan tersebut bersama Jalan Lidong membolehkan jarak perjalanan antara Sri Aman dengan Betong dipendekkan daripada kira-kira 73 kilometer kepada 28 kilometer.
Jambatan berkenaan dibina menggunakan reka bentuk kabel penahan (cable-stayed) dengan rentang utama sepanjang 450 meter serta laluan pelayaran selebar 200 meter pada ketinggian 23 meter.
Uggah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas usaha merealisasikan pembangunan rangkaian jambatan berkenaan.
Beliau berharap kemudahan baharu itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat, khususnya dalam merancakkan kegiatan ekonomi dan meningkatkan keselesaan perjalanan penduduk Sri Aman, Betong serta kawasan sekitarnya.
Pembukaan jambatan berkenaan turut melengkapkan satu lagi komponen penting jaringan pengangkutan negeri yang menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar secara lebih berkesan.



